MALAYSIA
Nilai sastera penting dalam melahirkan masyarakat kritis - Fadhlina

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan juga merancang untuk mendigitalisasikan karya yang diiktiraf supaya ia mudah diakses oleh seluruh masyarakat. - Gambar Dewan Bahasa dan Pustaka
KUALA LUMPUR: Karya sastera yang berkualiti perlu diberi pengiktirafan sewajarnya kerana ia merupakan landasan dalam pembinaan tamadun bangsa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peranan Sasterawan penting kerana setiap karya mereka mengangkat idealisme dalam menyuarakan aspirasi rakyat serta mencorak pemikiran masyarakat.
"Apabila penglibatan sasterawan menulis tentang idealisme perjuangan dan membawa suara rakyat, jadi inilah peranan yang harus dimasyarakatkan.
"Karya itu bukan sahaja karya biasa tetapi juga sebahagian besarnya adalah karya-karya yang memberikan kesan langsung berdasarkan apa yang mereka tulis, kaji dan juga memberikan pengalaman ketika mereka bersama dengan rakyat," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022, di sini, pada Khamis.
Majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan juga merancang untuk mendigitalisasikan karya yang diiktiraf supaya ia mudah diakses oleh seluruh masyarakat.
"Saya fikir itu antara usaha yang sentiasa kita pertimbangkan berdasarkan keadaan zaman. Dalam masa sama, ia memerlukan komitmen besar daripada semua pihak untuk memastikan apa juga cara atau teknologi yang digunakan, karya itu tetap asli, bermutu dan mampu memartabatkan sastera," ujarnya.
Sementara itu, Hazami memaklumkan, sebanyak 3,555 penyertaan diterima bagi empat kategori utama HSPM iaitu Kategori Buku/Kumpulan Karya dengan 165 penyertaan, Kategori Karya Eceran (3,203), Kategori Sastera Kanak-kanak (129) dan Kategori Sastera Remaja (58).
"Kita turut menyaksikan kemunculan penulis muda yang berjaya bersaing dengan nama besar seperti Sasterawan Negara dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award)," katanya sambil memaklumkan 50 karya dipilih sebagai pemenang bagi HSPM kali ini.
Pada majlis itu, Kategori Buku/Kumpulan Karya dimenangi oleh Praset Eh Chai menerusi kategori novel manakala Prof Madya Mawar Safei (kumpulan cerpen), Rudi Mahmood (kumpulan puisi), Prod Madya Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana (esei/kritikan sastera), Prof Azhar Wahid (kajian sastera) manakala Abd Rahim Abdullah (biografi/autobigrafi/memoir).
Semua pemenang menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sijil.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami