NIOSH minta kontraktor semak semula aspek keselamatan di tapak bina

Bernama
Mac 22, 2021 11:27 MYT
NIOSH menggesa pihak pemaju, kontraktor utama dan subkontraktor memastikan kerja-kerja pembinaan mematuhi peruntukan perundangan serta prosedur kerja selamat.
KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) menggesa pihak pemaju, kontraktor utama dan subkontraktor memastikan kerja-kerja pembinaan mematuhi peruntukan perundangan serta prosedur kerja selamat.
Naib Pengerusinya Datuk T. Mohan berkata majikan perlu komited dalam menjaga keselamatan dan kesihatan para pekerja mereka termasuk orang awam yang terdedah kepada risiko.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 juga menyatakan secara jelas tanggungjawab pihak pemilik industri bukan sahaja ke atas pekerja dan kontraktor tetapi juga kepada orang awam, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas insiden yang meragut nyawa tiga pekerja di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Puncak Bayan, Persiaran Alam Damai, Cheras, pagi tadi.
Kejadian itu merupakan insiden kedua melibatkan tapak pembinaan itu tahun ini.
-- BERNAMA
#NIOSH #keselamatan #Kontraktor #pembinaan #T Mohan