MALAYSIA

NIOSH sedia bantu perkukuh pengurusan risiko gas, bahan kimia berbahaya

Astro Awani 18/01/2026 | 08:45 MYT
Ayop (foto) menegaskan aktiviti melibatkan gas dan bahan kimia memerlukan pendekatan pencegahan menyeluruh bermula daripada penilaian risiko, kawalan kejuruteraan, prosedur kerja selamat, kompetensi pekerja sehingga tahap kesiapsiagaan kecemasan.
KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia menawarkan khidmat nasihat pakar bagi memperkukuh pengurusan risiko bahan kimia dan gas berbahaya susulan beberapa insiden kebocoran dan letupan yang dilaporkan baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • NIOSH bersedia menawarkan khidmat nasihat pakar bagi memperkukuh pengurusan risiko bahan kimia dan gas berbahaya susulan insiden kebocoran dan letupan baru-baru ini.
  • Insiden kebocoran gas amonia di Plaza Tol Seremban serta letupan sistem pendingin hawa di universiti swasta di Bukit Damansara menunjukkan keperluan latihan dan kawalan risiko yang lebih berkesan.
  • NIOSH menekankan pendekatan pencegahan menyeluruh dalam aktiviti yang melibatkan gas dan bahan kimia serta menggesa pematuhan undang-undang dan amalan terbaik keselamatan pekerjaan.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Ayop Salleh berkata, insiden berasingan melibatkan kebocoran gas amonia di Plaza Tol Seremban serta letupan sistem pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara membuktikan keperluan mendesak terhadap latihan dan kawalan risiko yang lebih berkesan.

Menurut beliau, walaupun kedua-dua kejadian itu berbeza dari segi punca, persamaan yang ketara ialah kegagalan mengawal pendedahan kepada gas dan bahan kimia berbahaya yang boleh mengakibatkan kecederaan serius dalam tempoh singkat.

“Insiden-insiden ini menunjukkan bahawa pendedahan atau kegagalan kawalan terhadap gas dan bahan kimia berbahaya boleh membawa kesan serius.

“NIOSH merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan kesembuhan kepada mereka yang cedera,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan tiga individu mengalami sesak nafas selepas silinder gas amonia yang dibawa sebuah lori bocor di susur keluar Plaza Tol Seremban pada 15 Januari lalu.

Dalam satu kejadian lain pada 12 Januari pula, seorang pelajar dilaporkan maut manakala sembilan lagi cedera akibat letupan melibatkan sistem pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara.

Ayop menegaskan, aktiviti yang melibatkan gas dan bahan kimia memerlukan pendekatan pencegahan menyeluruh bermula daripada penilaian risiko, kawalan kejuruteraan, prosedur kerja selamat, kompetensi pekerja sehingga tahap kesiapsiagaan kecemasan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua majikan dan pemilik premis yang mengendalikan bahan kimia, gas berbahaya atau sistem berasaskan gas supaya memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang dan amalan terbaik keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

NIOSH turut menyediakan khidmat nasihat pakar percuma selain latihan dan perkhidmatan makmal seperti Chemical Health Risk Assessment (CHRA) bagi memastikan pengurusan pendedahan bahan berbahaya dapat dilaksanakan secara tersusun mengikut garis panduan pihak berkuasa.

“NIOSH bersedia membantu organisasi kerajaan dan swasta melalui khidmat konsultasi, audit KKP, latihan pengurusan bahan kimia dan tindak balas kecemasan, semakan prosedur operasi selamat serta program peningkatan kompetensi pekerja,” katanya.

Beliau menambah, fokus utama ialah memastikan risiko dapat dikenal pasti lebih awal, dikawal secara berkesan serta semua pihak jelas mengenai tindakan yang perlu diambil ketika berlaku kecemasan.

NIOSH dalam pada itu menggalakkan majikan menyemak semula pelan kecemasan, melaksanakan latihan berkala, memperkukuh komunikasi risiko kepada pekerja dan kontraktor serta memastikan mekanisme pelaporan segera berfungsi bagi mengelakkan insiden menjadi lebih buruk.






Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tindakan yang disediakan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) selepas insiden kebocoran gas amonia di Plaza Tol Seremban dan letupan sistem pendingin hawa di sebuah universiti di Bukit Damansara?
    A: NIOSH bersedia menawarkan khidmat nasihat pakar, latihan, dan perkhidmatan makmal seperti Chemical Health Risk Assessment (CHRA) untuk memperkukuh pengurusan risiko bahan kimia dan gas berbahaya.
  • Q: Apakah persamaan yang dinyatakan oleh Pengarah Eksekutif NIOSH mengenai kebocoran gas amonia dan letupan sistem pendingin hawa?
    A: Datuk Ayop Salleh menyatakan bahawa kegagalan mengawal pendedahan kepada gas dan bahan kimia berbahaya merupakan persamaan ketara antara kedua-dua kejadian tersebut.
  • Q: Siapakah yang diketengahkan oleh NIOSH sebagai sasaran utama bagi memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang dan amalan terbaik keselamatan dan kesihatan pekerjaan?
    A: NIOSH menggesa semua majikan dan pemilik premis yang mengendalikan bahan kimia, gas berbahaya, atau sistem berasaskan gas untuk memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang dan amalan terbaik keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  • Q: Apa yang dititikberatkan oleh NIOSH dalam usahanya untuk memastikan pengurusan pendedahan bahan berbahaya dilaksanakan secara tersusun?
    A: NIOSH menitikberatkan pendekatan pencegahan menyeluruh bermula dari penilaian risiko, kawalan kejuruteraan, prosedur kerja selamat, kompetensi pekerja hingga tahap kesiapsiagaan kecemasan.
  • Q: Apakah peranan NIOSH dalam membantu organisasi kerajaan dan swasta dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan?
    A: NIOSH menyediakan khidmat konsultasi, audit KKP, latihan pengurusan bahan kimia, tindak balas kecemasan, semakan prosedur operasi selamat, serta program peningkatan kompetensi pekerja untuk memastikan risiko dapat dikenal pasti, dikawal secara berkesan, dan tindakan kecemasan diambil dengan tepat.



#NIOSH #ucapan takziah #pengurusan risiko gas #bahan kimia berbahaya