MALAYSIA

NIOSH tawar kursus asas kesihatan dan keselamatan pekerjaan sektor pelancongan

Bernama 12/01/2026 | 11:30 MYT
Ramanan bercakap pada sidang media selepas sesi taklimat sempena lawatan rasmi ke NIOSH hari ini. - Gambar Bernama
BANGI: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menawarkan kursus asas keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara percuma kepada 10,000 individu dalam sektor pelancongan dengan peruntukan sebanyak RM2.65 juta, kata menterinya, Datuk Seri R. Ramanan.


Ringkasan AI
  • Kementerian Sumber Manusia akan menawarkan kursus asas keselamatan dan kesihatan pekerjaan percuma kepada 10,000 individu dalam sektor pelancongan dengan peruntukan RM2.65 juta.
  • Program Latihan Induksi Keselamatan untuk Industri Pelancongan (SITI) bertujuan memastikan tenaga kerja sektor pelancongan mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.
  • Peserta yang menamatkan kursus SITI akan diberikan pasport keselamatan digital selama dua tahun dengan perlindungan insurans dalam dan luar negara.


Dikenali sebagai Latihan Induksi Keselamatan untuk Industri Pelancongan (SITI), beliau berkata program berkenaan dirangka khusus bagi memastikan tenaga kerja sektor pelancongan mempunyai pengetahuan untuk mencegah insiden, mengawal risiko di tempat kerja, serta mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.

"Mereka yang dimaksudkan termasuk pemandu pelancong, pengusaha pelancongon, pekerja atau kontraktor, kakitangan dan penyedia penginapan.

"Golongan ini akan ditawarkan untuk menyertai program SITI bagi melaksanakan pekerjaan mereka mengikut piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP). Ia juga selaras dengan inisiatif menyokong Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan rasminya ke ibu pejabat NIOSH di sini yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.

Permohonan dalam talian bagi menyertai latihan itu akan dibuka mulai 25 Jan ini di laman www.niosh.com.my.

Menurut Ramanan, durasi program SITI hanya tujuh jam sahaja dan dijalankan sama ada secara dalam talian atau bersemuka di kemudahan NIOSH seluruh negara.

"Para peserta yang berjaya menamatkan kursus akan diberikan pasport keselamatan secara digital yang mempunyai tempoh sah laku dua tahun dan sama seperti pasport keselamatan bagi industri lain yang dikeluarkan NIOSH, pemegang pasport SITI juga akan mendapat perlindungan insurans dalam dan luar negara," kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif NIOSH Datuk Ayop Salleh berkata program SITI memberi tumpuan kepada lima komponen utama antaranya pencegahan insiden, undang-undang dan peraturan KKP, langkah keselamatan dalam pelancongan dan kawalan risiko.

"Sektor pelancongan mempunyai risiko tersendiri yang perlu ditangani melalui latihan sistematik merangkumi pelbagai aspek seperti pengangkutan, penginapan dan penyediaan makanan," katanya

-- BERNAMA



#sektor pelancongan #KESUMA #NIOSH #kawalan risiko