Nissan LEAF baharu akan memasuki pasaran Malaysia

Bernama
Februari 7, 2018 06:11 MYT
Syarikat itu juga mungkin memperkenal kereta pelepasan asap sifar itu di pasaran lain di rantau ini, termasuk Indonesia dan Filipina. - Twitter/@NissanMotor
Kenderaan elektrik (EV) Nissan LEAF baharu akan dijual di tujuh pasaran Asia dan Oceania, termasuk Malaysia pada tahun fiskal akan datang.
Nissan Motor Co Ltd dalam satu kenyataan berkata, selain Malaysia, model itu juga akan memasuki pasaran Australia, Hong Kong, New Zealand, Singapura, Korea Selatan dan Thailand.
Syarikat itu juga mungkin memperkenal kereta pelepasan asap sifar itu di pasaran lain di rantau ini, termasuk Indonesia dan Filipina.
Satu kajian yang dijalankan oleh Frost Sullivan mendapati permintaan kukuh menunjukkan bahawa pasaran untuk EV berpotensi berkembang pesat di Asia Tenggara.
"Nissan sedang berusaha untuk membawa generasi baru EV yang paling laris di dunia itu ke lebih banyak pasaran.
"LEAF baru adalah pendekatan syarikat untuk menggerakkan orang ramai ke dunia yang lebih baik dengan menukar bagaimana kereta dikuasai, dipacu dan diintegrasikan ke dalam masyarakat," kata Naib Presiden Kanan Serantau Nissan, Yutaka Sanada pada majlis 'Nissan Futures' di Singapura hari ini.
Sejak model pertama LEAF diperkenal pada 2010, Nissan telah menjual lebih 300,000 unit. Model yang direka bentuk semula sepenuhnya diperkenal pada September 2017 dengan penghantaran bermula sebulan kemudian di Jepun. -- Bernama
#electric car #kereta eletrik #new car #Nissan #Nissan leaf