Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor, Nor Hainei Abu Bakar dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan pada tahun ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu turut mengucapkan tahniah kepada bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi), Aminudin Adam yang dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.

Muhyiddin berkata anugerah itu merupakan penghargaan tertinggi negara kepada guru-guru yang telah mencurahkan khidmat bakti dan jasa yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa.

"Saya berharap anugerah ini akan menjadi pembakar semangat kepada semua warga pendidik untuk terus bekerja keras dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara kita," katanya dalam perutusan khas sempena Hari Guru 2020 bertemakan 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu', yang disiarkan di stesen televisyen hari ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan kepada guru-guru yang mencapai pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antaranya, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Abd Rahman Ali yang merupakan Ikon Guru Teknologi Pendidikan Kebangsaan 2017, Ikon STEM Kebangsaan 2018, MIE Expert Malaysia, Global Minecraft Mentor dan peserta Global Education Exchange Microsoft Sydney Australia 2020, serta mencapai kedudukan kelima teratas bagi Cikgu Juara Digital Mydigitalmaker Kebangsaan 2020.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Lee Saw Im, guru mata pelajaran Kimia dari SMK Seri Bintang Utara yang berkhidmat selama 30 tahun. Beliau menerima Global Teacher Award 2019 dan pernah dinobatkan sebagai pemenang 'Best Science Teacher in South East Asia'. Tahniah Cikgu Lee," katanya.

Selain itu, Muhyiddin mengucapkan syabas kepada guru SMK Jerlun, Ayer Hitam, Kedah, iaitu Norhailmi Abdul Mutalib yang merupakan finalis Global Teacher Prize 2020 dan seorang guru yang inovatif dalam menghasilkan bahan pembelajaran menggunakan platform digital.

"Tahniah juga saya ucapkan kepada Cikgu Samuel Isaiah dari SK Runchang, Muadzam Shah, Pahang yang turut disenarai pendek untuk Global Teacher Prize 2020. Saya diberitahu pendekatan pengajaran Cikgu Samuel berjaya meningkatkan pencapaian murid di sekolah beliau yang terletak di luar bandar," katanya.

Menurut Muhyiddin, hasil penat lelah golongan guru telah menghasilkan ramai anak murid berjaya, antaranya seperti gimnas kebangsaan, Izzah Amzan daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil yang memenangi dua pingat emas serta satu pingat perak pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Perdana Menteri turut merakamkan rasa bangga dengan pencapaian Pasukan Vincera dari SMK King George Kelima, Negeri Sembilan yang menjadi naib juara, Land Rover 4 by 4 in Schools Technology Challenge, World Finals 2019 di United Kingdom.

Kejayaan Nathanael Lim Yee Ning, Ling Guan Yee dan Ling Yan Ru dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kai Ming dan Sekolah Kebangsaan St Anthony, Bintulu, turut disebut Muhyiddin dalam ucapannya atas kejayaan memenangi pingat emas pada pertandingan inovasi Pameran Teknologi, Inovasi dan Reka Cipta, Harta Intelek Antarabangsa 2020.

"Tahniah saya ucapkan kepada anda semua. Saya percaya ramai lagi anak-anak kita yang mencapai kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang yang tak dapat saya sebutkan di sini.

"Mereka adalah harapan kita semua. Saya doakan mereka diberikan kejayaan cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi," katanya.

-- BERNAMA