PUTRAJAYA: Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid hari ini sah dilantik memegang jawatan tersebut, sehari selepas media melaporkan penafian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan pelantikan itu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, KPM berkata, pelantikan Nor Zamani, 59, telah berkuatkuasa sejak 22 Jun lepas.

Menurut kenyataan itu lagi, Nor Zamani merupakan Ketua Pengarah Pendidikan ke-18 dan wanita ketiga menjawat jawatan itu selepas Tan Sri Asiah Abu Samah (1993 - 1996) dan Datuk Habibah Abdul Rahim (Januari 2020 – April 2021).

“Beliau (Nor Zamani) telah memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada tahun 1986 sebagai Ketua Jabatan A-Level di Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan. Dalam tempoh 35 tahun perkhidmatan, beliau juga telah berkhidmat di pelbagai organisasi dalam KPM.

“Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, KPM berkata, Nor Zamani berkelulusan ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sosiologi dan Antropologi dan Ijazah Sarjana Pendidikan dari Universiti Malaya.

“KPM yakin Datin Seri Hajah Nor Zamani dapat menggalas tanggungjawab sebagai peneraju perkhidmatan pendidikan dan seterusnya meningkatkan lagi prestasi KPM dalam mencapai aspirasi pendidikan negara,” menurut Kementerian lagi.

Baru-baru ini tular sebuah poster yang didakwa dihasilkan oleh staf KPM mengucapkan tahniah kepada Nor Zamani yang juga isteri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, atas pelantikan itu.

Bagaimanapun Khamis (1 Julai, 2021), portal The Vibes melaporkan pegawai Unit Komunikasi Korporat KPM sebagai berkata, poster itu adalah palsu, dan jawatan tersebut hanya dipangku oleh Nor Zamani.

Sebelum ini Nor Zamani dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Polisi dan Kurikulum) pada 9 November, 2020.