GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Nota bantahan penyertaan Tengku Zafrul: Anwar semak dengan SU PKR

Astro Awani 20/08/2025 | 01:45 MYT
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putarajaya hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan telah menerima nota bantahan daripada UMNO berhubung penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke dalam PKR.

Menurutnya, beliau akan menyemak perkara tersebut dengan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Nota itu diserahkan susulan Tengku Zafrul selaku Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu yang juga bekas ahli UMNO mengumumkan penerimaan PKR terhadap permohonan keahliannya.

“Surat itu sudah lama diterima. Saya kena semak dengan Setiausaha Agung,” kata beliau ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Ahad lalu, Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa parti komponen Pakatan Harapan itu telah menerima nota bantahan UMNO dan mesyuarat jawatankuasa pusat PKR akan membincangkan perkara itu pada akhir bulan ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut mengesahkan Setiausaha Agung PKR telah menerima dan memanjangkan surat itu kepada pimpinan parti.

Pada 13 Ogos lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu akan menyampaikan nota bantahan kepada pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan yang sedang mempertimbangkan, atau sudah membenarkan, bekas ahli UMNO masuk ke dalam parti mereka.

Sebelum ini juga, Fuziah mengesahkan bahawa Tengku Zafrul telah diterima sebagai ahli PKR dan parti itu telah meluluskan permohonan keahlian bekas ahli UMNO itu semasa mesyuarat jawatankuasa pimpinan pusat pada 26 Julai lalu.





#Anwar Ibrahim #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #UMNO #PKR