Notis merah menantu Muhyiddin: SPRM sedang siapkan beberapa dokumen - Azam Baki

Fareez Azman
September 30, 2023 05:50 MYT
Azam Baki (dua, kiri) melakukan gimik perasmian Program Menembak SPRM bersama Media 2023 sempena Ulang Tahun SPRM ke-56 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia Kajang hari ini. --fotoBERNAMA
KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melengkapkan beberapa dokumen sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung permohonan notis merah terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dokumen itu merupakan draf pertuduhan kes yang akan dibekalkan kepada PDRM.
"Semua dokumen itu akan diserahkan kepada PDRM pada Isnin depan.
"Berkaitan permohonan kepada Interpol, SPRM tidak boleh melakukan sendiri sebaliknya ia perlu melalui polis.
"Permohonan itu ialah berdasarkan kehendak-kehendak Interpol.
"Berkaitan dengan isu itu (permohonan notis merah), terdapat dokumen tertentu yang perlu kita bekalkan kepada PDRM.
"Ia akan dilakukan dengan segera dan tidak akan mengambil masa yang lama," katanya.
Penyerahan dokumen itu dijangka dibuat pada minggu depan, katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas ditemui media dalam Program Menembak SPRM Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-56, di sini, pada Sabtu.
#Azam Baki #SPRM #permohonan notis merah #menantu Muhyiddin