MALAYSIA

NPE 2 dijangka mula beroperasi 2029 - Alexander

Bernama 12/11/2025 | 08:45 MYT
Alexander (empat, kiri) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek NPE 2 di Plaza Tol Pantai Dalam di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) bernilai RM1.7 bilion yang melibatkan laluan utama sepanjang 6.4 kilometer dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana di sini, dijangka siap dan mula beroperasi pada 2029.


Ringkasan AI
  • Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) bernilai RM1.7 bilion dijangka siap dan mula beroperasi pada 2029, membantu mengurangkan kesesakan di koridor Pantai Dalam-Bangsar-Mahameru dengan jangkaan penjimatan masa perjalanan hingga 25 minit dari Bangsar/Mid Valley ke Subang Jaya.
  • Projek ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat di Pantai Dalam, Bangsar, dan Lembah Pantai, serta membuka peluang baharu dalam sektor perumahan, komersial, dan perkhidmatan tanpa beban kewangan kepada kerajaan.
  • Kos pembangunan projek NPE 2 dibiayai sepenuhnya oleh New Pantai Expressway Sdn Bhd, anak syarikat IJM Corporation Berhad, melalui kerjasama Awam-Swasta (PPP) tanpa beban kewangan kepada kerajaan, sementara pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) melalui perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan penekanan kepada kecerdasan buatan (AI) bagi perjalanan yang lebih selesa dan selamat.


Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 itu direka bentuk bagi menyuraikan kesesakan di koridor Pantai Dalam-Bangsar-Mahameru.

"Apabila siap kelak iaitu dijangka dalam tempoh 48 bulan, pengguna berupaya menjimatkan hingga 25 minit masa perjalanan dari Bangsar/Mid Valley ke Subang Jaya dengan peningkatan tahap perkhidmatan jalan.

"Selain itu, projek ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat di kawasan Pantai Dalam, Bangsar dan Lembah Pantai, serta membuka peluang baharu dalam sektor perumahan, komersial dan perkhidmatan," katanya.

Alexander berkata demikian dalam ucapan perasmian sewaktu menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek NPE 2 di Plaza Tol Pantai Dalam di sini hari ini.

Alexander berkata kos pembangunan projek NPE 2 dibiayai sepenuhnya oleh New Pantai Expressway Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh IJM Corporation Berhad (IJM), tanpa beban kewangan kepada kerajaan.

"Ini merupakan contoh terbaik kerjasama Awam-Swasta (PPP) dalam pembangunan infrastruktur mampan," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada sesi sidang media, Alexander berkata setakat ini sebanyak enam syarikat telah menyatakan minat untuk membida bagi projek berkenaan.

"Pelaksanaan sistem itu akan dibuat melalui perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan diberi peluang untuk berbincang dan berurusan terus dengan syarikat konsesi lebuh raya bertol sedia ada.

"Dari segi kriterianya, kita mahu sistem yang terbaik dan efisien termasuk melibatkan penggunaan kecerdasan buasatan (AI) dengan yang utamanya menjurus kepada memastikan pengguna dapat menikmati perjalanan lebih selesa dan selamat," katanya.

-- BERNAMA



#NPE 2 #Alexander Nanta Linggi #KKR #kesesakan di kuala lumpur