IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad tidak menolak kemungkinan terdapat unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di kawasan lain selain di Daerah Hulu Perak termasuk di Ulu Slim, Tanjung Malim.

Bagaimanapun Saarani berkata beliau belum menerima maklumat secara terperinci daripada pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak mengenai tapak berpotensi bagi NR-REE di kawasan berkenaan.

"Sama ada ia ekonomik atau tidak untuk diekstrak. Kalau hendak bawa keluar, ia memerlukan kos yang sangat mahal, tak berbaloi, tak gunalah kita ambil. Jika hendak meneroka perlu mendapat khidmat nasihat daripada JMG terlebih dahulu kerana JMG akan menentukan anggaran berapakah nilai bahan mineral tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Anugerah Pelajar Anak Angkat Cikgu Saarani dan Pelajar Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani Daerah Kinta di bawah Program Transisi Ke Arah Perak Sejahtera di sini hari ini.

JMG Perak dalam laman Facebook rasminya memaklumkan JMG telah membawa delegasi Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) melawat tapak berpotensi NR-REE dianggarkan seluas 100 hektar di Ulu Slim pada Isnin lepas.

Pada November lepas, Saarani dilaporkan berkata kerajaan negeri sudah menerima royalti sebanyak RM21.1 juta sepanjang tempoh Februari hingga November tahun ini, daripada hasil perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Hulu Perak.

Beliau berkata nilai itu dijangka terus meningkat, terutama selepas dasar larangan mengeksport bahan mentah unsur nadir bumi diperkenalkan Kerajaan Persekutuan yang menyaksikan mineral itu perlu diproses sebelum dieksport.

Aktiviti itu sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan baharu dalam industri mineral, terutama kepada mereka yang mempunyai pengetahuan atau kepakaran berkaitan NR-REE, justeru dipercayai akan turut menjamin pendapatan lumayan.

Projek perintis NR-REE yang dilaksanakan di kawasan seluas 84.6 hektar itu memulakan operasi pada Oktober tahun lalu selepas kelulusan dari segi perundangan yang berkaitan diperoleh daripada agensi teknikal dan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri.

-- BERNAMA