KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan memulakan program Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) selama 36 bulan, bermula tahun hadapan sehinga 2026.

Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim NRECC Dr Hartini Mohd Nasir berkata program itu merupakan satu perkongsian kerjasama yang akan meningkatkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim serta mengurangkan kos jangka panjang yang berkaitan dengan tindak balas kepada bencana berkaitan iklim.

"Kerjasama ini akan melonjakkan sokongan dua hala dalam merangka dan melaksanakan Pelan Adaptasi Kebangsaan dan tindakan adaptasi.

"Menerusi inisiatif pelan adaptasi ini, NRECC akan bekerjasama dengan kementerian lain, negeri dan juga pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, pakar dan pergerakan akar umbi, bagi memastikan tindakan kami akan memberikan impak yang bermakna dan menyeluruh," katanya pada Bual Bicara Perubahan Iklim di sini pada Jumaat.

Hartini berkata projek itu merupakan kerjasama bersama Kementerian Alam Sekitar, Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Pengguna Jerman (BMUV), Agensi Kerjasama Antarabangsa (GIZ) Jerman dan Rangkaian Global Pelan Adaptasi Nasional (NAP).

Projek itu juga disokong Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Cuaca (MGTC) selain Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang bertindak sebagai Unit Pelaksanaan Projek (UPP).

Hartini berkata menerusi perkongsian kerjasama dengan negara maju seperti Jerman, kementerian itu berhasrat untuk membentuk laluan ke arah mencapai kadar pelepasan karbon sifar bersih, menangani strategi mitigasi secara bersungguh-sungguh dan melaksanakan langkah penyesuaian yang melindungi kepelbagaian biologi dan keseimbangan ekologi.

"Usaha ini mesti disepadukan bersama langkah penyesuaian iklim, meningkatkan daya tahan Malaysia dan mengurangkan kerentanan terhadap kesan buruk perubahan iklim," katanya.

Pada masa yang sama, Hartini berkata NRECC juga sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) dan Strategi Pembangunan Karbon Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS), dengan menggariskan strategi dan tindakan yang tepat untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) global, terutamanya dalam sektor ekonomi utama.

"Serentak dengan itu, kementerian sedang membangunkan Akta Perubahan Iklim yang merupakan satu lagi undang-undang penting. Akta Kecekapan dan Konseversi Tenaga (EECA), yang dipacu NRECC, dijangka diluluskan di Parlimen bulan ini," katanya.

Hartini berkata pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Negara baru-baru ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandakan satu pencapaian bersejarah dalam perjalanan ke arah masa depan pelepasan karbon sifar bersih dan matlamat untuk mencapai pelepasan sifar bersih yang tidak hanya terhad kepada peringkat kebangsaan.

Beliau berkata matlamat itu merupakan objektif yang dikongsikan bersama melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri, sektor korporat dan syarikat yang kecil ataupun besar.

Mengulas mengenai forum itu, beliau berkata tema Race Towards Net Zero: Leadership For Climate Action, menjadi salah satu daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan NRECC dan MGTC untuk menyatu dan menghubungkan pemimpin daripada pelbagai industri dan sektor.

"Secara bersama, kami berhasrat untuk membincangkan dan berkongsi pengalaman, pandangan, penyelesaian praktikal dan cabaran yang dihadapi, dalam usaha kolektif kami untuk mengurangkan pelepasan sifar bersih dan penyesuaian kepada perubahan iklim di Malaysia.

"Adalah menjadi harapan saya agar penceramah daripada pelbagai industri hari ini, bukan sahaja akan dapat menarik minat anda, tetapi juga memberi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk memfokuskan operasi mereka kepada strategi mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim.

"Semoga ini akan menjadi asas kepada agenda kelestarian yang terpahat dalam hati setiap perusahaan," katanya.

-- BERNAMA