[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

NRES buka 10 kertas siasatan aktiviti seludup hidupan liar di KLIA

Bernama 30/04/2025 | 11:11 MYT
Mana-mana individu atau sindiket yang didapati terlibat dalam penyeludupan hidupan liar akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Sepuluh kertas siasatan berkaitan aktiviti penyeludupan hidupan liar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibuka bagi tempoh 2023 hingga April 2025.

Ringkasan AI
  • Sepuluh kertas siasatan dibuka berkaitan penyeludupan spesies eksotik dan tempatan seperti kura-kura, ular, burung, dan primat dari 2023 hingga April 2025.
  • NRES komited memperkasakan penguatkuasaan dan mempergiatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan untuk membanteras jenayah ini, termasuk tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
  • Malaysia kekal komited melindungi khazanah alam semula jadi dan menyeru masyarakat untuk melaporkan aktiviti mencurigakan berkaitan hidupan liar melalui hotline Perhilitan atau e-aduan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan ia melibatkan aktiviti penyeludupan spesies eksotik atau tempatan seperti kura-kura, ular, burung dan primat.
"NRES memandang serius isu ini yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Jenayah penyeludupan hidupan liar bukan sahaja menjejaskan populasi spesies terancam malah menimbulkan risiko keselamatan dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Dalam hal ini, NRES melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) komited memperkasakan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara," menurut kenyataan itu.
Mana-mana individu atau sindiket yang didapati terlibat dalam penyeludupan hidupan liar akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), termasuk denda hingga RM1 juta atau hukuman penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi memperkukuhkan usaha membanteras aktiviti itu, NRES mempergiatkan kerjasama strategik di bawah Rangkaian Penguatkuasaan Hidupan Liar Malaysia dan Operasi Bersepadu Khazanah dengan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan.
"Pendekatan bersepadu ini membolehkan operasi pencegahan, siasatan dan pendakwaan dijalankan dengan lebih berkesan," menurut NRES.
Sebagai sebuah negara mega biodiversiti, NRES memaklumkan Malaysia kekal komited melindungi khazanah alam semula jadi demi keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan generasi masa depan.
Justeru, NRES menyeru masyarakat untuk bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan hidupan liar melalui hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.
-- BERNAMA
#NRES #penyeludupan hidupan liar #KLIA #Perhilitan