Skip to main content

Malaysia

NRES sedia beri kerjasama penuh dalam siasatan SPRM berhubung pemindahan gajah

Gajah Zoo Taiping Jepun_Zoo Taiping & Night Safari
Isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji sebelum ini mendapat perhatian pelbagai pihak susulan persoalan yang dibangkitkan mengenai proses dan prosedur yang terlibat dalam urusan berkenaan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedia memberikan kerjasama penuh dan menyeluruh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan berhubung proses pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping, Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan mengikut lunas undang-undang.

Menurut beliau, kementerian mengambil maklum siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM berhubung isu berkenaan dan menegaskan komitmen berterusan terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti serta kedaulatan undang-undang dalam setiap aspek pengurusan hidupan liar negara.

"NRES menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam setiap aspek pengurusan hidupan liar negara.

"Sehubungan itu, NRES sedia memberikan kerjasama penuh dan menyeluruh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan ini berlangsung bagi memastikan proses siasatan dapat dilengkapkan secara menyeluruh dan telus," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

Arthur turut menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang salah laku, penyelewengan atau pelanggaran prosedur dalam urusan pemindahan haiwan berkenaan.

Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil bagi memelihara integriti institusi kerajaan serta menjaga nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji sebelum ini mendapat perhatian pelbagai pihak susulan persoalan yang dibangkitkan mengenai proses dan prosedur yang terlibat dalam urusan berkenaan.

SPRM kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang unsur salah laku atau pelanggaran prosedur dalam proses pemindahan tersebut.

Must Watch Video

Advertisement