NATIONAL
N.Sembilan beri peruntukan RM850,000 untuk insentif siswazah kelas pertama
Menurut Aminuddin, setiap pelajar terlibat menerima RM5,000 sebagai pengiktirafan atas usaha gigih mereka dalam tempoh pengajian selain sebagai pendorong kepada generasi muda untuk terus berusaha dan berdaya saing dalam akademik. - Gambar fail
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Yayasan Negeri Sembilan (YNS) memperuntukkan insentif kecemerlangan berjumlah RM850,000 kepada 170 pelajar negeri ini yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda kelas pertama di institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setiap pelajar terlibat menerima RM5,000 sebagai pengiktirafan atas usaha gigih mereka dalam tempoh pengajian selain sebagai pendorong kepada generasi muda untuk terus berusaha dan berdaya saing dalam akademik.
Beliau berkata, YNS juga meneruskan inisiatif seperti Bantuan Peranti Mudah Alih bagi pelajar Tingkatan Enam, Bantuan Komputer Riba dan Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk pelajar di IPTA tahun ini.
"Kerajaan negeri sentiasa memastikan bahawa usaha menjadikan negeri ini sebagai lembah ilmu dapat direalisasikan dengan memastikan pusat pengajian dibangunkan mempunyai pakar rujuk yang unggul serta melahirkan ilmuwan bertaraf dunia.
"Saya sangat mengalu-alukan anak-anak di hadapan saya ini untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi agar kepakaran dan pengkhususan anak-anak dapat dimanfaatkan kepada negeri dan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama YNS 2025 di Klana Resort Seremban, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, YNS turut menyediakan peluang Bantuan Pinjaman Pendidikan tanpa faedah bagi peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di IPTA.
Sementara itu, siswazah cemerlang, Muhammad Syamim Hashim, 26, dan isterinya, Norhanis Auni Mohd Fikri, 26, melahirkan rasa syukur dan gembira selepas menerima insentif tersebut.
"Alhamdulillah segala penat lelah kami belajar selama ini rasa dihargai. Kami berharap insentif seperti ini dapat diteruskan lagi kepada generasi siswazah cemerlang akan datang," kata graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
--BERNAMA