MALAYSIA

N.Sembilan dijangka terima pelaburan asing baharu lebih RM27 bilion tahun depan - Aminuddin

Bernama 09/12/2025 | 05:00 MYT
Aminuddin (foto) berkata lima pelaburan asing terbesar itu melibatkan perkhidmatan logistik dan digital serta sektor pembuatan. -Gambar fail
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan dijangka menerima limpahan pelaburan asing baharu berjumlah lebih RM27 bilion bermula tahun depan, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan diberitahu hari ini.


Ringkasan AI
  • Negeri Sembilan dijangka menerima limpahan pelaburan asing melebihi RM27 bilion bermula tahun depan, melalui lima pelaburan terbesar termasuk projek E&E semikonduktor dari Belanda dan pusat data AI berjumlah RM20 bilion.
  • Pelaburan asing ini akan memberi manfaat kepada sektor pembuatan, perkhidmatan logistik, dan digital di Negeri Sembilan, terutamanya di kawasan Seremban dan Port Dickson dalam Wilayah MVV 2.0.
  • Dijangka pertumbuhan pelaburan baharu bakal berlaku dalam lima tahun akan datang, didorong oleh pembukaan kawasan industri baru yang strategik serta sokongan infrastruktur yang canggih di Negeri Sembilan.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ini bakal diterima menerusi lima pelaburan asing terbesar yang dikenal pasti untuk kemasukan pelaburan dalam perancangan ke negeri ini, yang melibatkan perkhidmatan logistik dan digital serta sektor pembuatan.

"Ia meliputi projek gudang sejuk beku pintar bertingkat dari Jepun yang akan menjalankan operasi di Techpark 2, Enstek dengan nilai pelaburan RM300 juta dan projek peralatan perubatan yang juga dari Jepun di Sendayan Techvalley (RM280 juta).

“Selain itu, projek elektrik dan elektronik (E&E) semikonduktor dari Belanda di Senawang (RM2 bilion) dengan fasa pertama dianggarkan dengan nilai pelaburan sekitar RM300 juta.

"Seterusnya, projek kampus data kecerdasan buatan (AI) dari Amerika Syarikat di Bandar Springhill, Lukut (RM5 bilion),” katanya.

Beliau berkata projek terakhir adalah pusat data AI keseluruhan berjumlah RM20 bilion dengan fasa pertama dijangka mencecah rekod pelaburan RM10 bilion dan sekiranya berjaya, ia bakal ditempatkan di pembangunan Negeri Sembilan Semiconductor Valley, parcel F, Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri berkata demikian bagi menjawab soalan Siau Meow Kong (PH-Rahang) yang ingin tahu pelaburan asing terbesar yang dikenal pasti dalam perancangan kerajaan negeri pada 2026 dan sektor yang menerima manfaat utama.

Aminuddin berkata kelima-lima projek strategik itu bertumpu di Seremban dan Port Dickson yang terletak dalam Wilayah MVV 2.0 iaitu kawasan pertumbuhan utama yang kini menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berimpak tinggi di Negeri Sembilan.

Menurutnya berdasarkan momentum semasa, kerajaan negeri menjangkakan pelaburan baharu khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan akan terus berkembang dengan lebih pesat pada masa akan datang.

Beliau berkata pertumbuhan itu dijangka rancak dalam tempoh lima tahun seterusnya, didorong oleh pembukaan kawasan industri baharu yang bukan sahaja strategik tetapi turut dilengkapi jaringan jalan raya yang baik, infrastruktur moden serta ekosistem sokongan komprehensif.

"Dengan hala tuju pembangunan jelas, perancangan yang berpandangan jauh serta komitmen menyeluruh daripada semua pihak, Negeri Sembilan berada pada kedudukan optimum untuk muncul sebagai hab pelaburan serantau yang dinamik," katanya.


-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah jumlah limpahan pelaburan asing yang dijangka diterima oleh Kerajaan Negeri Sembilan bermula tahun depan?
    A: Kerajaan Negeri Sembilan dijangka menerima limpahan pelaburan asing baharu berjumlah lebih RM27 bilion bermula tahun depan.
  • Q: Apakah lima pelaburan asing terbesar yang akan masuk ke Negeri Sembilan mengikut perancangan kerajaan?
    A: Lima pelaburan asing terbesar yang dikenal pasti termasuk projek gudang sejuk beku pintar dari Jepun di Techpark 2, Enstek (RM300 juta), projek peralatan perubatan dari Jepun di Sendayan Techvalley (RM280 juta), projek E&E semikonduktor dari Belanda di Senawang (RM2 bilion), projek kampus data kecerdasan buatan dari Amerika Syarikat di Bandar Springhill, Lukut (RM5 bilion), dan pusat data AI keseluruhan berjumlah RM20 bilion.
  • Q: Di mana lokasi kelima-lima projek strategik pelaburan asing tersebut akan difokuskan di Negeri Sembilan?
    A: Kelima-lima projek strategik pelaburan asing tersebut akan difokuskan di Seremban dan Port Dickson, kawasan yang terletak dalam Wilayah MVV 2.0, menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berimpak tinggi di Negeri Sembilan.



#Aminuddin Harun #Negeri Sembilan #semikonduktor #pelaburan asing #E&E semikonduktor #data AI