Sektor pelancongan negara menunjukkan peningkatan untuk muncul sebagai penyumbang pendapatan negara kasar (PNK) ketiga tertinggi negara tahun lepas walaupun jumlah ketibaan pelancong menunjukkan kemerosotan.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015, dari segi resit pelancongan, ia menurun sebanyak 4 peratus daripada RM72 bilion kepada RM69.1 bilion pada 2015, manakala jumlah ketibaan pelancong merosot sebanyak 6.3 peratus daripada 27.4 juta orang pada 2014 kepada 25.7 juta orang tahun lepas.

MESTI BACA: Intipati penting ucapan Najib pada pelancaran laporan Program Transformasi Negara 2015

Kemerosotan dalam ketibaan pelancong dan resit pelancongan itu boleh dikaitkan dengan kelembapan dan cabaran ekonomi global seperti banjir terburuk dalam tempoh 30 tahun lepas, yang menjejaskan beberapa negeri di Malaysia pada awal 2015, gempa bumi di Ranau, Sabah pada Jun 2015, nasihat perjalanan serantau bagi kawasan tenggara pantai Sabah selain kesan kemalangan pesawat MH370 dan MH17.

"Walaupun berlaku cabaran, sektor pelancongan kekal kukuh dan menjadi antara tonggak ekonomi yang dapat membantu pemulihan ekonomi," kata laporan itu. Laporan itu, yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri, dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Angkasapuri di sini, malam tadi.

Ia berkata persaingan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini diiktiraf dengan pelbagai anugerah pada 2016 seperti 'Best Golf Destination in Asia' bagi dua tahun berturut-turut oleh World Golf Awards 2015; majalah ‘Travel + Leisure’ menganugerahkan Malaysia sebagai ‘Best International
Destination - Food and Drink 2014’ pada April 2015.

Selain itu, Malaysia juga menjadi bandar raya beli-belah kedua popular di dunia bagi pelancong Muslim oleh Muslim Travel Shopping Index 2015 dan 'Top 10 Best Travel Destinations for 2016' oleh Lonely Planet.

Menurut laporan it, industri kapal layar Malaysia menunjukkan pertumbuhan berterusan pada 2015 dengan pertambahan 50 peratus kepada 523,272 orang daripada 352,322 orang pada 2014.

Ia berkata pusat oulet bagi item premium turut berkembang dengan Malaysia menjadi negara pertama mempunyai outlet Mitsui di luar Jepun pada 2015 dan menempatkan oulet terbesar Mitsui sehingga kini, yang menarik lebih satu juta pengunjung sejak pembukaannya.

Perbelanjaan pelancong menerusi membeli-belah juga meningkat tahun lepas dengan jumlah perbelanjaan bertambah 0.2 peratus kepada RM21.63 juta dan beli-belah mewakili 31.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan pelancong di Malaysia.

Laporan itu menyatakan bahawa insentif dan program kerajaan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan industri pelancongan, sebagai contoh, Elaun Cukai Pelaburan menggalakkan pembukaan lebih banyak hotel bertaraf 4 dan 5 bintang pada 2015 termasuk hotel mewah 5 bintang jenama Kempinski yang akan memulakan pembinaannya pada 2016.

Dalam bergerak maju ke hadapan, kerajaan juga komited untuk mencapai sasaran 36 juta pelancong dan RM168 juta resit pelancong menjelang 2020, dengan 2015 menandakan separuh daripada Program Transformasi Ekonomi dan menjadi landskap dinamik bagi sektor pelancongan.

"Kementerian Pelancongan dan Kebudyaan telah membuat keputusan bahawa sudah tiba masanya untuk mengkaji semula inisiatif sedia ada dan mengenal pasti produk baharu yang ditawarkan termasuk menyelaras cadangan kajian yang dilaksana kementerian baru-baru ini," katanya.