PETALING JAYA: Inisiatif Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia bersama agensi di bawahnya, HRD Corp, diyakini mampu merekodkan jumlah melepasi sasaran awal 125,000 penyertaan dalam tempoh seminggu penganjurannya.

Ketua Pegawai Risiko, Integriti dan Tadbir Urus HRD Corp, Siti Fatimah Abdullah berkata, ia selepas melihat sambutan memberangsangkan dalam tempoh sehingga hari ini bagi penyertaan 5,000 kursus yang diadakan secara percuma melibatkan 5,000 pengajar.

Malah, NTW 2023 turut mendapat maklum balas positif dalam kalangan peserta yang hadir.

“Program ini dilihat sebagai pintu masuk kepada pertumbuhan peribadi dan pembangunan profesional, justeru itu, sahut cabaran yang mungkin anda hadapi sebagai batu loncatan ke arah masa depan lebih cerah.

“Kerana kita tahu bahawa pendidikan dan kemajuan diri tidak mempunyai had, malah, pengetahuan yang anda peroleh ketika menyertai latihan di sini akan melengkapkan anda dengan persediaan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di Wisma HRD Corp, Petaling Jaya di sini pada Rabu.


Kursus-kursus dijalankan melalui pembelajaran secara bersemuka, dalam talian atau pembelajaran hibrid serta merangkumi pelbagai kemahiran insaniah serta teknikal dalam latihan, pemantapan, kemudahan, dan pembelajaran

Sementara itu, menurut Ketua Bahagian Khidmat Pelanggan HRD Corp, Siti Nabillah Natrah Hamshah, program yang pertama kali dilaksanakan ini mengumpulkan organisasi serta individu daripada pelbagai latar belakang industri untuk latihan dan pembangunan kemahiran.

“Kami mahu orang ramai untuk merebut peluang menyertai NTW 2023. HRD Corp ingin menggalakkan latihan diberikan kepada segenap usia dan memastikan setiap warga Malaysia layak untuk mengikuti latihan yang dianjurkan.

“Penganjuran ini juga mendapat sokongan yang baik daripada pelbagai kementerian, agensi kerajaan, pemain industri, individu, persatuan industri, ahli akademik, penyedia latihan, dan banyak lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, tenaga pengajar NTW 2023, Diyana Sofia berkata, model inisiatif dilaksanakan tersebut sangat efektif dan membantu masyarakat menilai minat mereka sebelum sepenuhnya menceburi cabang tertentu.

“Saya meneliti semua program-program yang ada dan kaedah atau pendekatan NTW ini memang berkesan dalam kita mengenal pasti minat dan kecenderungan seseorang untuk mereka secara pasti meneruskan dalam bidang pilihan mereka.

“Untuk penganjuran ini, saya mengajar berkaitan dandanan (grooming) dan solekan. Kami mendapat jumlah penyertaan tiga kali ganda berbanding sasaran awal sekitar 25 orang bagi satu sesi pembelajaran,” jelasnya.

Selaku peserta Health Wellbeing Champion, Rozalina Abdul Rahim berkata, penganjuran NTW 2023 tersebut wajar diteruskan pada masa hadapan kerana banyak memberi manfaat kepada para peserta dan masyarakat secara amnya.

“Kesihatan mental bukan lagi sesuatu yang tabu dalam masyarakat ketika ini dan semua pihak perlu memainkan peranan penting untuk membantu mereka yang menghidapi masalah ini, justeru, latihan hari ini memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kami untuk mendepani mereka terkesan situasi ini.

“Selaku pemilik sebuah syarikat dan mempunyai kakitangan di bawah kelolaan saya, latihan ini juga sangat membantu sekiranya terdapat situasi sama berlaku dalam kalangan pekerja,” jelasnya.

Mereka yang berminat boleh melayari www.nationaltrainingweek.gov.my untuk mendaftar dengan mana-mana kursus yang tersedia.