KUALA LUMPUR: Setelah hampir dua tahun dirundingkan, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) bersama Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) secara rasminya menandatangani Perjanjian Kolektif (CA) Ke-19 hari ini.

Berucap pada majlis menandatangani (CA) berkenaan, Setiausaha Agung NUBE J. Solomon berkata perjanjian itu berkuat kuasa bagi tempoh 1 Jan 2021 sehingga 31 Dis 2023 atau sehingga diperbaharui dengan CA yang baharu.

Beliau berkata terdapat lebih 20 skim dan insentif bukan kewangan dan kewangan yang telah dipersetujui melalui rundingan antara kedua-dua pihak itu yang sekali gus memberi manfaat serta memartabatkan pekerja sektor perbankan terutamanya ahli NUBE.

Antaranya yang dipersetujui adalah melibatkan pelarasan gaji sehingga 18 peratus, bayaran tunggakan gaji sejak 2021 dan bayaran khas sebanyak satu bulan gaji untuk setiap perayaan utama.

"NUBE dan MCBA telah bekerja keras bagi memastikan CA kali ini ditandatangani lebih awal dan sekurang-kurangnya ahli-ahli NUBE dapat merasai hasilnya sebelum berakhirnya Ramadan ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 17,000 kakitangan perkeranian bank perdagangan di Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima pelarasan gaji menerusi CA yang baharu.

-- BERNAMA