NUBE optimis aduan terhadap HSBC akan terima keputusan positif

Astro Awani
September 19, 2021 06:35 MYT
J Solomon menjelaskan, aduan secara rasmi itu dibuat berdasarkan Garis Panduan OECD Mengenai Perniagaan Multinasional pada bulan Disember 2020. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) optimis bahawa aduan secara rasmi terhadap HSBC Bank Malaysia Berhad akan menerima keputusan positif dan membina demi kepentingan terbaik ahli-ahlinya dan para pekerja bank di Malaysia.
Setiausaha Agung NUBE, J Solomon menjelaskan pihaknya dan UNI Global Union telah memfailkan aduan secara rasmi terhadap HSBC Bank Malaysia Berhad kepada UK National Contact Point (UK NCP).
Beliau menjelaskan, aduan secara rasmi itu dibuat berdasarkan Garis Panduan OECD Mengenai Perniagaan Multinasional pada bulan Disember 2020.
Jelas Solomon, pihak UK NCP dalam kenyataannya menjelaskan beberapa aduan yang difailkan oleh NUBE dan UNI Global Union mengenai HSBC Bank Malaysia Berhad sebagai yang sah, dan aduan akan dibawa ke peringkat siasatan selanjutnya atau untuk proses mediasi.
“UK NCP, dalam kenyataan mengenai keputusan mereka, yang dikeluarkan pada 15 September 2021 lalu, mengatakan bahawa pihaknya telah memutuskan untuk menerima beberapa aduan yang difailkan oleh NUBE dan Uni Global Union mengenai HSBC Bank Malaysia Berhad sebagai yang sah, dan aduan akan dibawa ke peringkat siasatan selanjutnya atau untuk proses mediasi.
“Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) dengan sokongan Uni Global Union telah memfailkan aduan secara rasmi mengenai HSBC Bank Malaysia Berhad, anak syarikat HSBC Holdings Plc, sebuah syarikat pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional Britain, di UK National Contact Point (UK NCP) bagi Garis Panduan OECD Mengenai Perniagaan Multinasional pada bulan Disember 2020,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
UK NCP telah memutuskan bahawa beberapa isu yang dibangkitkan oleh pengadu (NUBE dan UNI Global Union) ada merit untuk diperiksa dengan lebih lanjut.
Menurut UK NCP, keputusan pengaduan untuk meneruskan mediasi atau pemeriksaan lebih lanjut, didasarkan pada penilaian awal yang dibuat berdasarkan maklumat yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat.
“NUBE menyambut baik keputusan yang secara langsung menunjukkan bahawa ada asas yang kuat dalam aduan yang dikemukakan kepada UK NCP.
“NUBE dan Uni Global Union akan memberikan kerjasama susulan kepada UK NCP, oleh itu, kami optimis bahawa keputusan positif dan membina akan dicapai demi kepentingan terbaik ahli-ahli NUBE dan para pekerja bank di Malaysia,” katanya lagi
Aduan secara rasmi itu dibuat ekoran tindakan tidak adil HSBC Bank Malaysia ke atas pekerja-pekerja bank dan kegagalan untuk menghormati undang-undang buruh dan perjanjian kolektif yang telah ditandatangani di Malaysia.
Solomon berkata organisasinya terpaksa membawa isu kepada perhatian UK NCP kerana pihak berkuasa tempatan gagal mencari penyelesaian membina sejak bertahun-tahun lamanya.
“Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia telah gagal membantu mencari penyelesaian konstruktif terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu.
“NUBE berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh Uni Global Union dan pertimbangan sewajarnya yang telah diberikan oleh UK NCP dalam menyiasat aduan kami, dan keputusannya untuk meneruskan tindakan bagi mencari penyelesaian.”
Pada Julai lepas, NUBE membuat 93 laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne, atas keputusannya membuang pekerja ketika pandemik.
Dalam maklum balas, HSBC berkata ia sedang melakukan pembaharuan dalaman bank yang akan melibatkan pembentukan lebih 200 penjawatan baharu bagi memenuhi perkembangan industri perbankan.
Ini termasuklah memindahkan kakitangan sedia ada kepada jawatan dan peranan baharu.
#NUBE #HSBC #UK NCP #j solomon #aduan #rasmi