MALAYSIA
Nuklear Malaysia perkukuh pertanian guna teknologi mutasi
Muhammad Rawi berkata Nuklear Malaysia dan MARDI turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian dalam pembangunan prosedur operasi standard bagi memanfaatkan teknologi nuklear dalam rawatan tanaman. - Gambar Bernama
BANGI: Teknologi nuklear memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil pertanian termasuk melalui penghasilan baka baharu tanaman kenaf yang lebih produktif dan serba guna.
Dihasilkan melalui kaedah mutasi aruhan menggunakan sinar gama, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) berjaya membangunkan baka baharu yang bukan sahaja menghasilkan lebih banyak fiber untuk kegunaan industri malah turut mengeluarkan lebih banyak daun kenaf yang boleh diproses menjadi minuman herba kesihatan.
Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata penambahbaikan tanaman itu dilakukan menerusi pendedahan terkawal kepada sinar gama yang membolehkan perubahan pada peringkat asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menghasilkan varieti baharu yang lebih tahan lasak serta mampu mengeluarkan batang dan daun berkualiti dalam kuantiti yang banyak.
"Jadi, kami bersama-sama LKTN telah menghasilkan baka baharu kenaf... dengan ciri-ciri yang lebih baik. Contohnya, daun lebih lebar, jadi jika diproses menjadi minuman, hasilnya lebih banyak berbanding baka lama... sama dengan fiber juga," katanya.
Selain kenaf, beliau berkata kaedah sama turut digunakan untuk membangunkan benih padi baharu yang mampu tumbuh di kawasan tanah marginal serta tahan terhadap serangan penyakit dan perubahan cuaca.
"Teknologi mutasi aruhan sinar gama disasarkan untuk digunakan bagi menghasilkan varieti tanaman baharu yang tahan kemarau, lebih tahan penyakit serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi... antara kejayaan penting ialah penghasilan varieti padi baharu NMR152 yang mula ditanam oleh pesawah dari tahun 2023.
"Baka baharu berkenaan berjaya menambah pendapatan petani tempatan melalui peningkatan hasil tuaian antara 35 hingga 50 peratus... benih padi varieti ini disukai oleh pesawah kerana hasilnya yang tinggi, stabil di pelbagai persekitaran dan sesuai ditanam di kawasan yang berbeza terutama di tanah bermasalah," katanya.
Ditanya mengenai fungsi Nuklear Malaysia serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Muhammad Rawi berkata biarpun berbeza, kedua-dua agensi saling melengkapi dalam usaha memperkukuh sektor pertanian negara.
"Kami menjalankan penyelidikan dan eksperimen untuk menghasilkan baka baharu yang lebih berdaya saing... tetapi untuk memastikan semua hasil kami dapat diterima dan dipasarkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (menerusi MARDI) yang akan memantau serta mengesahkannya," kata beliau.
Muhammad Rawi berkata Nuklear Malaysia dan MARDI turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian dalam pembangunan prosedur operasi standard bagi memanfaatkan teknologi nuklear dalam rawatan tanaman termasuk usaha untuk fitosanitasi buah-buahan untuk pasaran eksport khususnya ke negara yang meletakkan syarat ketat terhadap keselamatan produk pertanian seperti Amerika Syarikat dan negara Eropah yang lain.
"Mereka meletakkan syarat bahawa buah-buahan yang dihantar ke sana mesti 'disinarkan' dulu dengan sinaran gama untuk pastikan ia bebas penyakit akibat mikroorganisma berbahaya dan serangga... justeru, satu usaha bersepadu diperlukan bagi membantu petani dan menggalakkan mereka supaya hasil tanaman mereka lebih berdaya saing di peringkat global," katanya.
Nuklear Malaysia ditubuhkan pada tahun 1972 dan beroperasi sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Agensi itu juga merupakan satu-satunya institusi penyelidikan kebangsaan yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains dan teknologi nuklear bagi pembangunan sosioekonomi.
Selain itu, ia berperanan memacu penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan serta inovasi teknologi nuklear untuk kegunaan aman dan manfaat rakyat.
Muhammad Rawi berkata dalam sektor industri pula, teknologi nuklear memainkan peranan penting terutamanya melalui penggunaan radioisotop sebagai penyurih yang banyak digunakan dalam industri minyak dan gas di Malaysia.
"Kecekapan operasi penyulingan minyak dan gas, misalnya, ditentukan dengan kaedah penyurih radioisotop... di samping itu, kaedah ini juga digunakan bagi mengesan kebocoran sistem paip dalam industri minyak dan gas, yang membolehkan pengesanan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan selamat," katanya.
-- BERNAMA