MALAYSIA

NUR@PETRA bantu rakyat jimat bil elektrik, sokong peralihan tenaga negara

Astro Awani 24/12/2025 | 05:40 MYT
Program ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, selari dengan komitmen kerajaan untuk memastikan manfaat peralihan tenaga dapat dinikmati secara inklusif di seluruh negara. -Gambar SEDA
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia kini dapat menikmati penjimatan bil elektrik melalui Program Nikmat Untuk Rakyat (NUR@PETRA), satu inisiatif nasional berimpak tinggi yang menawarkan rebat pembelian peralatan elektrik cekap tenaga untuk kegunaan isi rumah, perniagaan dan sektor industri.


Ringkasan AI
  • Program Nikmat Untuk Rakyat (NUR@PETRA) menawarkan rebat pembelian peralatan elektrik cekap tenaga untuk isi rumah, perniagaan, dan sektor industri, sebagai kesinambungan kepada Program SAVE di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
  • Program ini diperluaskan kepada sektor industri dan komersial termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), dengan menggalakkan penggunaan peralatan cekap tenaga bagi mencapai penjimatan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon.
  • Melalui NUR@PETRA, rebat sehingga RM400 diberikan kepada pengguna domestik untuk pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga, sambil sektor perniagaan dan industri turut mendapat manfaat rebat sehingga RM500,000 bagi penggunaan sistem penyejukan baru yang lebih cekap tenaga.


Program ini merupakan kesinambungan kepada Program SAVE (Sustainability Achieved Via Energy Efficiency) yang telah dilaksanakan dengan jayanya sebelum ini, dan kini diperkasakan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Sebagai agensi pelaksana rasmi kerajaan, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) bertanggungjawab merancang, menyelaras dan melaksanakan NUR@PETRA dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) serta Energy Commission of Sabah (ECOS).

Pelaksanaan program ini mencerminkan peranan SEDA Malaysia dalam memastikan dasar tenaga negara diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.

Sebelum ini, Program SAVE memberi tumpuan kepada pengguna domestik sahaja.

Namun, menerusi NUR@PETRA, skop program telah diperluaskan merangkumi sektor industri dan komersial, termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Program ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, selari dengan komitmen kerajaan untuk memastikan manfaat peralihan tenaga dapat dinikmati secara inklusif di seluruh negara.

Di bawah NUR@PETRA, program ini merangkumi tiga kategori utama iaitu NUR:Domestik, NUR:PMKS dan NUR:Chiller.

Bagi kategori domestik, pengguna layak menerima e-Rebat sehingga RM400 bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk berlabel empat (4) dan lima (5) bintang cekap tenaga.

Sambutan yang amat menggalakkan menyaksikan sebanyak 250,000 unit e-Rebat bagi kategori domestik ditebus sepenuhnya pada November 2025, sekali gus mencatatkan anggaran penjimatan tenaga tahunan sebanyak 171.64 GWj, penjimatan kos elektrik sekitar RM67.71 juta, serta pengurangan pelepasan karbon melebihi 132,000 tan CO₂.

Selain isi rumah, sektor perniagaan dan industri turut menerima manfaat melalui NUR:PMKS dan NUR:Chiller, yang membantu mengurangkan kos utiliti operasi serta meningkatkan kecekapan tenaga bangunan dan perniagaan.

Bagi kategori chiller, rebat sehingga RM500,000 (RM250 bagi setiap Refrigerant Tonne – RT) ditawarkan kepada pengguna industri dan komersial yang menukar sistem penyejukan lama melebihi 10 tahun kepada sistem baharu yang lebih cekap tenaga, tertakluk kepada penilaian dan pengesahan di tapak.

Permohonan melibatkan sistem penyejukan comfort cooling dan berkecekapan rendah berdasarkan MS 1525, tertakluk kepada penilaian serta pengesahan di tapak sebelum dan selepas pemasangan.

Usaha ini bukan sahaja menjimatkan kos jangka panjang, malah menyumbang secara langsung kepada pengurangan pelepasan karbon negara.

Secara keseluruhannya, NUR@PETRA bukan sekadar program rebat, tetapi satu pendekatan strategik yang dipacu oleh SEDA Malaysia untuk membudayakan penggunaan tenaga secara cekap dan bertanggungjawab.

Melalui pelaksanaan yang telus dan berimpak, program ini menyokong aspirasi nasional ke arah pengurangan pelepasan karbon negara.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan, orang ramai boleh melayari portal rasmi di www.saveenergy.gov.my atau www.seda.gov.my/nur.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada pasukan projek NUR di talian 03-8870 5869 / 5864 / 5922 / 5953 atau melalui emel nur@seda.gov.my.



#NUR PETRA #jimat elektrik #PMKS #SEDA Malaysia #Petra #Program Nikmat Untuk Rakyat