MALAYSIA
Nurul Izzah dilantik Penasihat Strategik SIDEC

Pelantikan Nurul Izzah berdasarkan kapasiti beliau sebagai Pengerusi Eksekutif Polity, iaitu sebuah badan pemikir baharu. - Gambar fail
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Penasihat Strategik Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Selangor (SIDEC).
Ringkasan AI
- Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Strategik SIDEC sempena ulang tahun ke-10 agensi itu, atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Eksekutif Polity, bagi menyumbang kepada dasar awam, pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan digital.
- Pelantikan turut melibatkan dua tokoh industri global, iaitu Datuk Lai Yit Loong (bekas Naib Presiden NVIDIA dan Foxconn) dan Dr Chiang Shang-Yi (Pengarah Foxconn), yang akan fokus kepada pembangunan bakat dan kerjasama teknologi semikonduktor.
- SIDEC kini menjadi pemacu utama ekonomi digital Selangor, dengan pencapaian seperti pembangunan Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor pertama Malaysia dan menyumbang kepada 26.2% KDNK negara pada 2024.
Pelantikan itu bertujuan membawa wawasan bernilai dalam dasar awam, pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan digital.
Turut dilantik sebagai Penasihat Strategik SIDEC adalah bekas Naib Presiden NVIDIA Corp dan Foxconn Datuk Lai Yit Loong, serta Pengarah Foxconn Dr Chiang Shang-Yi.
Kedua-kedua tokoh itu akan menumpukan kepada pembangunan bakat dan kerjasama rentas sempadan dalam bidang teknologi serta pembuatan semikonduktor, selain berkongsi pengalaman luas mereka dalam inovasi semikonduktor global dan pembangunan industri.
Menurut SIDEC pelantikan itu, menandakan satu langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab inovasi serantau dan mempercepat kemajuan ekosistem semikonduktor negara.
"Pelantikan itu juga mercu tanda strategik dalam mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pusat inovasi serantau," menurut kenyataan itu.
SIDEC ialah anak syarikat milik penuh Invest Selangor Berhad yang ditubuhkan bagi memacu transformasi digital negeri menerusi tiga teras utama, iaitu e-dagang, pembangunan syarikat pemula, serta bandar pintar dan digitalisasi.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata SIDEC kini menjadi antara pemacu utama ekonomi digital negeri, dengan lebih 200 syarikat pemula telah menerima manfaat menerusi Selangor Accelerator Programme.
Beliau berkata antara pencapaian terbesar SIDEC adalah pembangunan Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Pertama Malaysia di Selangor, kini menempatkan lebih 12 anchor tenants dan disokong lebih 400 jurutera tempatan serta gergasi dunia seperti ARM dan Siemens EDA.
Kejayaan itu selari dengan pencapaian ekonomi Selangor yang terus membanggakan, iaitu pada 2024, Selangor mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dengan sumbangan sebanyak 26.2 peratus nilai ekonomi mencecah RM432.1 bilion, dan kadar pertumbuhan tahunan 6.3 peratus.
"Kejayaan itu hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, sektor industri, penjawat awam yang berdedikasi, serta rakyat Selangor yang sentiasa progresif dan berdaya saing," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami