Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Nurul Izzah kecam serangan terhadap anak Rafizi, desak tindakan segera

Sinar Harian 15/08/2025 | 00:40 MYT
Menurut Nurul Izzah, walaupun politik adalah medan pertembungan idea dan pandangan, keselamatan kanak-kanak dan keluarga tidak boleh dijadikan sebagai bahan tawar-menawar atau alat ugutan. - Gambar fail/BERNAMA
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang disifatkannya sebagai satu tindakan keji dan melampau.

Beliau berkata, tiada kanak-kanak yang wajar terdedah kepada bahaya sedemikian kerana ia bukan sahaja jenayah serius, malah pelanggaran terhadap prinsip asas kemanusiaan.

“Saya sebagai insan biasa dan seorang ibu, memahami keresahan serta tekanan yang sedang ditanggung saudara Rafizi dan keluarganya.

“Lebih peribadi bagi saya, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, saya menumpukan usaha melindungi murid sekolah daripada ancaman serta pembulian, termasuk di ruang digital,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Nurul Izzah, walaupun politik adalah medan pertembungan idea dan pandangan, keselamatan kanak-kanak dan keluarga tidak boleh dijadikan sebagai bahan tawar-menawar atau alat ugutan.

“Atas nama seluruh keluarga besar Keadilan, saya mendesak pihak berkuasa bertindak segera, menyiasat secara telus dan memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi dan pengecualian,” tegasnya.

Beliau turut mengutuk keras mana-mana pihak yang menggunakan keganasan, samseng atau ugutan bagi mencapai tujuan politik.

“Saya menzahirkan simpati mendalam kepada Ben, Fisha dan Raf, serta berdoa semoga ALLAH SWT mengurniakan kekuatan dan perlindungan kepada mereka.

“Marilah kita bersatu menentang budaya buli dan ugutan, serta membina Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar selamat untuk semua anak-anak kita,” katanya.

Sebelum ini dalam perkongsiannya di Facebook, Rafizi memaklumkan seorang lelaki mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah di Putrajaya pada 1.45 tengah hari, Rabu.

Dakwanya, semakan menunjukkan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal mengekori kereta isterinya dan beliau berpandangan bahawa individu terbabit mungkin sudah merancang serangan berkenaan lebih awal. - Sinar Harian





#Nurul Izzah Anwar #Rafizi Ramli #keselamatan kanak-kanak #anak Rafizi #khianat