Nushirwan dilantik Ketua Pengarah Keselamatan Negara baharu

Bernama
Mei 30, 2023 10:45 MYT
Raja Nushirwan sebelum ini adalah Duta Besar Malaysia di Beijing, China.- Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara berkuat kuasa hari ini, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Raja Nushirwan, 53, sebelum ini adalah Duta Besar Malaysia di Beijing, China.
Memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 21 Mac 1994 dan ditempatkan di Kementerian Luar, Raja Nushirwan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dengan pengkhususan kepada hubungan antarabangsa.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Abertay, Dundee, Scotland, juga pernah ditempatkan di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Sweden dan Singapura.
"Semoga pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara akan memacu kecemerlangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menerajui penggubalan dasar dan pengurusan keselamatan negara secara komprehensif, bersepadu dan berkesan dalam memastikan negara kekal aman, sejahtera serta berdaulat," kata Mohd Zuki dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
#Majlis Keselamatan Negara #Raja Nushirwan Zainal Abidin #Ketua Pengarah #Mohd Zuki Ali