Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada Isnin meminta Kementerian Pendidikan (KPM) melihat semula dan mempermudahkan cara pengisian dokumentasi maklumat pelajar.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata buat masa ini, para guru terpaksa mengisi dokumentasi maklumat pelajar dalam tiga peringkat antaranya mencatat buku kedatangan dan mengisi secara dalam talian untuk KPM.

"Cara ini tidak lagi relevan kerana guru terpaksa membuat tiga kerja apatah lagi pada hujung tahun guru sibuk dengan peperiksaan dan sudah tentu beban guru itu akan turut ditanggung oleh pembantu tadbir kerana maklumat itu diperlukan cepat oleh KPM," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Kesatuan Pembantu Pegawai Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (Keptan) 2018 di sini pada Isnin.

Selain itu, beliau berkata banyak kekosongan jawatan pembantu tadbir yang bersara dan kematian tidak diisi oleh KPM.

Tan berkata tawaran untuk jawatan itu ada tetapi tidak diisi menyebabkan beban tugas perkeranian di sekolah bertambah dan pihaknya meminta agar KPM mempercepatkan pengisian jawatan pembantu tadbir untuk mengurangkan beban pentadbiran di sekolah.

Beliau juga meminta KPM menyerap jawatan 412 pembantu guru sekarang dengan tugas perkeranian dan sebagainya.

"Mereka banyak membantu guru, adalah sewajarnya mereka diserap jawatan tetap dan bukan kontrak kerana mereka ada pengalaman," katanya.

Sementara itu, Presiden Keptan Adnan Ahmad berkata pihaknya mengharapkan isu pembantu tadbir dapat ditangani dengan segera agar beban pentadbir sekolah dapat diatasi.

Beliau berkata ada sesetengah sekolah tidak mempunyai pembantu tadbir menyebabkan pembantu tadbir sekolah berhampiran bergilir tugas membantu sekolah tersebut menjalankan kerja kerani.

"Untuk selesaikan masalah ini kita mencadangkan terma jawatan perlu disemak semula kerana terma perjawatan sekarang tidak membantu.

Kita kekurangan hampir 1,000 pembantu tadbir di seluruh negara dan sehingga kini terdapat 28,000 pembantu tadbir di negara ini," katanya.

--BERNAMA