Nyah jenayah bunuh diri: KKM akan hantar memorandum, mohon tangguh dakwaan

Ridauddin Daud
November 17, 2021 09:52 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) akan menghantar memorandum berkenaan moratorium terhadap kesalahan cubaan bunuh diri, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menghantar memorandum berkenaan moratorium (penangguhan) terhadap pendakwaan dan sabitan kesalahan cubaan bunuh diri, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, memorandum tersebut memohon jemaah menteri meluluskan moratorium segera agar tiada sebarang dakwaan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi kes cubaan bunuh diri sehingga pindaan atau pemansuhan seksyen tersebut dilaksanakan di Parlimen.
“Bahagian Kawalan Penyakit KKM bersama input daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang dan Perkembangan Bahagian Perubatan telah menyediakan memorandum untuk jemaah menteri.
“Ia berkenaan moratorium terhadap kesalahan cubaan bunuh diri di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, Akta 574. Memorandum ini memohon jemaah menteri untuk meluluskan tempoh moratorium segera agar tiada sebarang dakwaan, sabitan di bawah seksyen tersebut.
“Ia adalah sehingga pemansuhan atau pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan telah dilaksanakan di Parlimen,” katanya pada sesi penggulungan Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Tambah beliau, kertas cadangan memorandum tersebut telah dipersetujui pengurusan KKM dan dalam semakan sebelum dikemukakan kepada jemaah menteri.
Begitupun, beliau tidak memberitahu tarikh tepat bilakah ia akan dikemukakan ketika menjawab soalan tambahan daripada Kelvin Yii Lee Wuen (PH - Kuching).
KKM sebelum ini menegaskan mereka komited dalam menjalinkan kerjasama serta mengalu-alukan pelbagai agensi lain untuk bersama mengambil bahagian dalam mencegah tingkah laku bunuh diri dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM juga menyokong usaha nyah jenayah cubaan bunuh diri dan langkah meminda atau memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang mensabitkan tingkah laku itu sebagai kesalahan jenayah.
Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, mereka yang didapati cuba membunuh diri boleh boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
#bunuh diri #Khairy Jamaluddin #KKM #Parlimen