KUALA NERUS: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditahan selepas disyaki mencuri pakaian dalam pelajar perempuan di sebuah asrama universiti awam di Kuala Nerus.

Perbuatan suspek yang berusia 37 tahun itu terbongkar selepas beberapa  pelajar perempuan ternampak lelaki itu berlegar-legar di sekitar asrama siswi sebelum menghubungi polis, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, susulan itu lelaki berkenaan ditahan kira-kira jam 7 petang hari yang sama di lokasi terbabit.

"Suspek yang juga OKU pendengaran telah direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

"Selain itu hasil ujian saringan air kencing juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan masing-masing kerana mencuri dan menceroboh.

Terdahulu rakaman video berdurasi lapan saat yang memaparkan seorang lelaki berlegar di kawasan ampaian asrama wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam, menjadi tular di media sosial.