MALAYSIA

OKU ditemukan lemas, terjatuh dalam parit di Teluk Intan

Abd Razak Mohd Ali 26/09/2025 | 03:15 MYT
Mayat seorang lelaki lumpuh ditemukan setelah terjatuh ke dalam parit di Jalan Labu Kubong Kampung S/C Belt, Kampung Cenderong Balai dekat Teluk Intan, hari ini. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam parit di Jalan Labu Kubong Kampung S/C Belt, Kampung Cenderong Balai dekat Teluk Intan, hari ini.

Mangsa, Mohd Zaidi Omar, 28 tahun, yang lumpuh sebelah kiri badan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.02 pagi.

“Ketua operasi telah melaksanakan size-up dan mengarahkan anggota memakai pakaian perlindungan diri (PPE) penyelamatan dan menjalankan operasi menaikkan mangsa di kawasan parit,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, Shazlean berkata, seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang di Pantai Teluk Batik, Seri Manjung, hari ini.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.28 pagi.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, ketua operasi dimaklumkan oleh keluarga mangsa bahawa mereka sedang bercuti di tepi pantai di samping melakukan upacara sembahyang di sana,” ujarnya.

Anggota bomba melaksanakan operasi mencari seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Batik, Seri Manjung. - Foto JBPM Perak


Bagaimanapun, katanya, mangsa yang hilang dari pandangan setelah masuk ke dalam air.

Menurutnya, keadaan air laut kini sedang pasang dan operasi pemantauan sedang dijalankan dan pos kawalan bomba (PKB) telah dibuka.

Tambahnya, pencarian dilakukan menggunakan tiga buah bot di sekitar satu kilometer dari kawasan mangsa didapati hilang.





#OKU #Teluk Intan #jatuh parit #warga emas hilang