Seorang lelaki kurang upaya (OKU) meninggal dunia setelah lemas di kawasan air terjun Batu Hampar, Kampung Paya Lintah, petang Jumaat.

Kejadian sekitar jam 4.25 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Yusuf Shamsuddin, 25, mandi bersama dua rakan lain masing-masing berusia 15 dan 16 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintenden Zahiri Hassan berkata, mangsa yang mengalami masalah pembelajaran dilaporkan terjatuh dalam satu cerun air yang berkedalaman dianggarkan enam meter.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa cuba menyeberangi sungai dengan bergayut pada satu tali yang merintangi sungai berkenaan.

"Daripada maklumat rakannya, mangsa telah melepaskan tangan ketika sampai di pertengahan tali itu menyebabkannya terjatuh dan tenggelam.

"Rakan cuba menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa berjaya ditemukan dalam kawasan cerun bawah air oleh sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menjalankan operasi menyelamat bersama penduduk kampung.

Katanya, pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati ada kecederaan di bahagian belakang kepala serta berlaku pendarahan di telinga kiri.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat," katanya.

Mangsa yang beralamat dari Kampung Perik Salak Baru, Enggor dan bekerja sebagai buruh tinggal bersama seorang kakak.