KUALA LUMPUR:Pembatalan sukan Olimpik Tokyo secara tidak langsung bukanlah satu isu yang besar bagi majoriti atlet, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Bagaimanapun, perkara itu tetap menjadi isu besar melibatkan sekumpulan kecil atlet yang menjadikan temasya berprestij itu sebagai sasaran.

Ahmad Shapawi berkata demikian ketika ditanya Astro AWANI mengenai laporan media luar negara yang memetik sumber mengenai dakwaan kemungkinan kerajaan Jepun akan membatalkan Olimpik Tokyo 2021 yang dijangka berlangsung Julai ini.

"Saya rasa ia masih bersifat khabar angin (pembatalan Olimpik Tokyo) sehinggalah kedua-dua pihak iaitu negara penganjur (Jepun) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membuat keputusan, jadi pada MSN itu semua masih lagi tidak rasmi dan khabar angin," katanya pada Jumaat.

Ditanya sama ada khabar angin itu akan menjejaskan persiapan atlet negara yang telah layak dan sedang menjalani sesi kelayakan Olimpik, Ahmad Shapawi berkata, sudah tentu spekulasi sedemikian sedikit sebanyak 'menggerunkan'.

Namun begitu, Ahmad Shapawi berkata, persiapan atlet negara tidak hanya tertumpu pada Sukan Olimpik semata-mata tetapi sasaran juga diberikan kepada kejohanan temasya dunia yang lain.

"Jika kita lihat kumpulan atlet kita yang sedang berlatih di MSN dan pusat latihan yang lain, kita mempunyai lebih 1,000 atlet dan hanya sebahagian kecil sahaja meletakkan Olimpik dan Paralimpik sebagai temasya yang akan mereka tempuhi sebagai proses persediaan pada tahun ini.

"Sebahagian besarnya atau 90 peratus menjadikan kejohanan-kejohanan atau temasya lain seperti Sukan Sea Vietnam, Sukan Asia 2022 yang akan datang sebagai proses persediaan. Persediaan ini perlu dilakukan lebih awal," jelas beliau.

Untuk rekod, di kem Malaysia, seramai 12 atlet sudah mengesahkan tiket Olimpik 2020 secara merit.

Terdahulu, agensi berita antarabangsa, Reuters memetik The Times yang melaporkan dakwaan seorang anggota kanan kerajaan Jepun bahawa negara itu akan membatalkan temasya sukan berkenaan  akibat penularan pandemik COVID-19.

Namun, Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga dilaporkan berkata, pihaknya komited untuk merealisasikan penganjuran Olimpik dan Paralimpik Tokyo.

Sukan Olimpik pada edisi 2020 di Tokyo terpaksa ditangguhkan selepas temasya sukan itu ditunda ke tahun ini susulan penularan pandemik COVID-19 di hampir sebilangan besar negara di seluruh dunia.

Sukan Olimpik Tokyo dijangka berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos sementara Sukan Paralimpik Tokyo (24 Ogos - 5 September) dan Sukan SEA 2021 di Vietnam (21 November - 2 Disember).