KUALA LUMPUR: Sambutan Onam oleh komuniti Malayali wajar menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan antara masyarakat serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam membina negara yang bersatu dan harmoni, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau menerusi ucapan Onam di Facebooknya berkata komuniti berkenaan mempunyai sejarah panjang di Malaysia dan menjadi sebahagian daripada perjalanan pembangunan negara sejak sekian lama.
Aaron berkata bahasa, adat, seni, makanan dan tradisi masyarakat Malayali mencerminkan kekayaan identiti serta kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia.
“Dalam arus pemodenan, warisan seperti ini mesti terus dipelihara, diperkasa dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Kemajuan tidak seharusnya menyebabkan kita kehilangan akar budaya dan jati diri.
“Setiap etnik dan subetnik di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dan kesemuanya merupakan sebahagian daripada khazanah bersama yang membentuk identiti Malaysia,” katanya.
Ahli Parlimen Kanowit itu turut menyeru rakyat Malaysia agar berusaha mengenali budaya dan tradisi komuniti lain kerana proses saling mengenali mampu melahirkan kefahaman dan rasa hormat, seterusnya memperkukuh perpaduan.
“Apabila kita mengenali kita akan lebih memahami, apabila kita memahami kita akan lebih menghormati dan daripada rasa hormat itulah lahir perpaduan yang sebenar.
“Selamat menyambut Onam kepada seluruh komuniti Malayali di Malaysia. Onam Ashamsakal!” katanya.
Onam akan disambut esok oleh masyarakat Malayali dan antara tradisi yang dikaitkan dengan sambutan itu ialah "Pookalam", iaitu hiasan bunga indah dan berwarna-warni, pemakaian busana tradisional "Kasavu" dan "Onam Sadya", hidangan vegetarian yang disajikan dalam daun pisang serta persembahan muzik dan tarian tradisional.
-- BERNAMA