JOHOR BAHRU: Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan pertemuan dengan 40 syarikat pelabur berpotensi termasuklah syarikat terkemuka dunia dari China seperti China Telecom Global Corporation Ltd, TCL Technology Group, dan Guangzhou JiuHeng Barcode Co Ltd.

Onn Hafiz mengetuai delegasi kerajaan negeri Johor yang mengadakan lawatan kerja ke Zon Ekonomi Khas Shenzhen, China bermula dari 2 hingga 7 Mac.

Dalam satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Onn Hafiz berkata pertemuan itu membincangkan beberapa perincian dan cadangan mengenai hala tuju Johor serta harapan pelabur mengenai polisi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) yang akan mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.


"Kerajaan negeri turut berkongsi dan menyatakan komitmen serta keyakinan bahawa Johor adalah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber dan mampu menyediakan ruang ekonomi yang berdaya maju," katanya.

Katanya pelbagai polisi dan inisiatif seperti JSSEZ dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) telah memberi mesej jelas bahawa Johor sedia menerima pemain industri baharu untuk mengembangkan sayap perniagaan mereka di negeri ini.

-- BERNAMA