MALAYSIA

Onn Hafiz mohon rakyat Johor peka perkembangan cuaca semasa

Bernama 23/12/2025 | 15:29 MYT
MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) yang dijangka berlaku bermula Jumaat ini hingga Isnin minggu hadapan. - Facebook Onn Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menasihatkan seluruh penduduk terutama di empat daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi sentiasa berwaspada dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ini berikutan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) yang dijangka berlaku bermula Jumaat ini hingga Isnin minggu hadapan.

"Kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan terus memantau situasi ini secara rapi...selain berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan serta kebajikan Bangsa Johor sentiasa terpelihara," katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Beliau juga menyeru rakyat negeri untuk bersama-sama berdoa agar Johor terus dilindungi dan dijauhkan daripada sebarang musibah, serta dipermudahkan segala urusan sepanjang tempoh cuaca tidak menentu.

--BERNAMA




#Johor #cuaca #hujan #MetMalaysia #onn hafiz ghazi #keselamatan #rancang perjalanan