Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

ONSA 2024 jadi benteng lindungi rakyat daripada ancaman dalam talian

Malekah Aisyah 28/10/2025 | 06:40 MYT
Isu cadangan had usia 16 tahun bagi akaun media sosial dibincangkan dalam AWANI Pagi susulan kebimbangan terhadap keselamatan remaja dalam talian. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dalam dunia yang semakin bergantung kepada internet, keselamatan dalam talian kini menjadi keutamaan.


Ringkasan AI
  • Kerajaan perkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 (ONSA) untuk melindungi rakyat daripada ancaman siber seperti penipuan, buli siber, eksploitasi seksual kanak-kanak dan perjudian dalam talian.
  • ONSA meletakkan tanggungjawab kepada platform digital, termasuk media sosial dan aplikasi sembang, agar lebih telus dan proaktif dalam melindungi pengguna, serta memperkukuh peranan MCMC dalam penguatkuasaan.
  • Ancaman digital semakin serius, dengan kerugian kewangan rakyat mencecah RM1.12 bilion akibat penipuan siber dan lebih 100,000 kanak-kanak berisiko menjadi mangsa eksploitasi seksual setiap tahun.


Menyedari ancaman digital yang semakin membimbangkan, kerajaan memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 (Online Safety Act – ONSA) [Akta 588] sebagai langkah penting melindungi rakyat Malaysia daripada bahaya siber yang semakin meruncing.

Hampir setiap isi rumah kini berhubung dengan dunia digital namun di sebalik kemudahan ini, rakyat semakin terdedah kepada pelbagai bentuk kemudaratan dalam talian seperti penipuan siber, buli siber, eksploitasi seksual kanak-kanak dan perjudian dalam talian.

Sepanjang Januari hingga September 2025, MCMC menurunkan lebih 63,000 kandungan berunsur penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran yang menyebabkan kerugian kewangan rakyat mencecah sehingga RM1.12 bilion. Selain itu, 38,470 kandungan berkaitan buli siber dan jenayah siber turut dipadam, manakala lebih 1,400 bahan lucah melibatkan kanak-kanak dikenal pasti seterusnya diturunkan.

Ancaman terhadap golongan muda turut menjadi kebimbangan besar. Kajian UNICEF dan INTERPOL mendedahkan bahawa 91 peratus kanak-kanak Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun menggunakan internet setiap hari dan 70 peratus daripada mereka terdedah kepada kandungan berbahaya.

Malah, empat peratus kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun dilaporkan menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam talian setiap tahun menjadikan jumlah bersamaan lebih 100,000 kanak-kanak.

Berbeza dengan tanggapan umum, ONSA 2024 tidak menyasarkan pengguna, sebaliknya meletakkan tanggungjawab yang jelas kepada penyedia platform digital termasuk media sosial, aplikasi sembang dan laman perkongsian video untuk lebih bertanggungjawab, telus dan proaktif dalam melindungi pengguna.

Selain itu, akta ini turut memperkukuh peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menguatkuasakan undang-undang serta memastikan platform asing yang beroperasi di Malaysia turut mematuhi peraturan keselamatan dalam talian.

Secara keseluruhan, ONSA 2024 [Akta 588] menjadi langkah penting untuk memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan inklusif seiring dengan visi Malaysia ke arah masyarakat digital yang lebih berdaya dan holistik.


#MCMC #keselamatan siber #ONSA 2024 #jenayah siber #UNICEF #Interpol #Kanak-kanak