Seramai 88 pendatang asing tanpa izin (PATI), empat tekong dan seorang penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng), pada Khamis.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, pihak penguatkuasa turut merampas lapan kenderaan darat.

Menurut beliau, mereka ditahan ketika 82 sekatan jalan raya Operasi Benteng yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan Ismail Sabri berkata, pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memeriksa 1,225 premis pada Khamis memberi nasihat kepada sembilan premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"KPDNHEP juga telah melakukan pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 680 premis perniagaan termasuk peruncit (481), pemborong (170) dan pengilang (29).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi," jelasnya.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

Sementara itu, beliau memaklumkan 30,314 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan negara sejak 24 Julai hingga Khamis lalu.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,350 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 20,893 individu lagi dibenarkan pulang," ujarnya.