Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Op Gegar: Baru dua hari bekerja sudah dicekup imigresen

Bernama 11/08/2025 | 01:40 MYT
Sejumlah 54 wanita warga asing berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan, dengan pecahan 48 warga Thailand, dua warga Indonesia dan empat warga Vietnam. - Foto BERNAMA
IPOH: Baru sempat mengumpul komisen kira-kira RM100 selepas dua hari bekerja, seorang wanita warga Thailand ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana menyalahgunakan pas lawatan bagi tujuan bekerja di rumah urut.

Wanita berusia 25 tahun itu baru tiga hari sampai ke negara ini dengan menaiki bas dari Bangkok melalui Hatyai dan masuk melalui sempadan utara.

Dia antara tiga suspek yang kesemuanya warga Thailand yang ditahan imigresen dalam serbuan Op Gegar melibatkan JIM Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor pada malam tadi di sebuah rumah urut di Tambun di sini.

Pengarah JIM Perak Datuk James Lee pada sidang media berkata dalam serbuan serentak di 13 lokasi di sekitar Ipoh itu, 54 wanita warga asing berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan, dengan pecahan 48 warga Thailand, dua warga Indonesia dan empat warga Vietnam.

Lee berkata kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Fokus kita pada malam ini adalah untuk membanteras kegiatan tidak bermoral khususnya di pusat-pusat urut. Pegawai risikan saya telah membuat risikan selama 14 hari dan saya telah arahkan pegawai penguat kuasa untuk buat serbuan pada malam ini.

"Kebanyakan mereka datang sini menggunakan pas lawatan sosial, dan telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963 (kerana bekerja)," katanya sambil menambah sebanyak 91 pegawai dan anggota JIM terlibat dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata ada suspek terbabit menawarkan perkhidmatan dibawa pulang ke rumah pelanggan, selain menggunakan aplikasi TikTok serta WhatsApp bagi menarik perhatian pelanggan dengan bayaran antara RM50 ke RM100 untuk setiap perkhidmatan.

Sebanyak 54 pelanggan lelaki tempatan dan warga asing turut ditahan dengan kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi membantu siasatan lanjut serta dipanggil sebagai saksi.

-- BERNAMA






#Op Gegar #pas lawatan #JIM #serbuan