TAPAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengeluarkan 1,124 kompaun dan lapan arahan pematuhan daripada 5,579 pemeriksaan yang dilakukan ke atas majikan menerusi Op Kesan Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di seluruh negara setakat ini.

Ia melibatkan 833 kesalahan majikan yang gagal melakukan pendaftaran dan caruman di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan 291 kesalahan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, menasihatkan majikan, termasuk mereka yang berniaga di warung-warung supaya mendaftar dan mencarum untuk pekerja mereka.

"Ini satu tanggungjawab yang mana kerajaan ingin membantu memastikan bahawa setiap pekerja ini mempunyai jaringan keselamatan sosial dan mereka ini, nasib mereka terbela jika berlaku hilang upaya, kemalangan.

"Banyak insentif-insentif yang telah kerajaan bantu kepada semua pencarum melalui majikan sepanjang tempuh COVID-19 ini. Cuba lihat, ini sebenarnya yang dibantu oleh kerajaan kerana mereka adalah pencarum Perkeso," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian karnival kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 Negeri Perak, anjuran Perkeso di Kompleks Sukan Tapah, Perak pada Ahad.


Menurutnya, daripada lawatan yang dilakukan itu, didapati sektor perkhidmatan dan perniagaan runcit paling banyak melakukan kesalahan.


Sehubungan itu, katanya, Perkeso akan meningkatkan usaha dan mengembeling tenaga di seluruh negara untuk memastikan majikan mendaftar dan mencarum. 


Beliau menjelaskan, ia bukanlah suatu bebanan atau paksaan, sebaliknya satu keperluan untuk memastikan golongan pekerja mempunyai jaringan keselamatan sosial.