Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Op MURNI: ATM sedia hadapi Monsun Timur Laut, anggota dan aset dikerah

Asyraf Malik 20/11/2025 | 05:15 MYT
Koordinasi aset dan anggota ATM kini digerakkan secara menyeluruh menerusi Operasi Murni (Op MURNI) bagi menghadapi kemungkinan banjir seluruh negara. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap kesiapsiagaan optimum bagi menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 yang dijangka bermula November hingga Mac tahun hadapan.


Ringkasan AI
  • Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini bersedia menghadapi kemungkinan banjir semasa Monsun Timur Laut 2025/2026 dengan Operasi Murni (Op MURNI) yang melibatkan koordinasi aset dan anggota ATM.
  • ATM turut terlibat sebagai komponen penting dalam bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana, bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
  • Kesiapsiagaan ATM termasuk pemetaan kawasan berisiko, pelantikan panglima operasi, serta penggerakan aset dan anggota untuk operasi menyelamat dan bantuan, dengan melibatkan lebih dari 4,400 anggota dan pelbagai jenis aset seperti kenderaan, bot, dan pesawat.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata koordinasi aset dan anggota ATM kini digerakkan secara menyeluruh menerusi Operasi Murni (Op MURNI) bagi menghadapi kemungkinan banjir seluruh negara.

“Fungsi ATM bukan sahaja benteng pertahanan negara, malah komponen penting bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana, terutama ketika musim tengkujuh.

“Dalam situasi bencana banjir, ATM akan terus ke hadapan untuk membantu, menyelamat dan bertindak berdasarkan penilaian di lapangan.

“ATM adalah sebahagian Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), antara lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujar Khaled ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Persiapan Operasi Murni ATM, di Wisma Pertahanan, di sini pada Khamis.

Setakat ini, pemetaan awal mendapati sebanyak 5,648 kawasan dikenal pasti berpotensi dilanda banjir berdasarkan rekod, data MetMalaysia serta laporan pasukan di lapangan.

“ATM mengeluarkan direktif operasi bagi menggerakkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Seterusnya Panglima Tentera Darat dilantik sebagai peneraju operasi, manakala Panglima Medan Barat dan Panglima Medan Timur mengetuai pelaksanaan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Empat fasa utama Op MURNI juga sudah digerakkan, bermula dengan atur gerak awalan, melibatkan pemantauan kawasan berisiko, kemudian diikuti operasi menyelamat, operasi bantuan dan fasa pasca banjir,” jelas Khaled.

Seramai 4,428 anggota merangkumi 266 pegawai dan 4,162 anggota Lain-Lain Pangkat dikerah bagi pelaksanaan Op MURNI di seluruh negara.

Dari segi aset pula, ATM telah menyediakan 506 aset mobiliti darat, 7,355 bot dan aset mobiliti perairan, serta 19 pesawat bagi menyokong operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.

Antara aset dipamerkan dalam Majlis Persiapan Op MURNI termasuk ambulans medan, treler air, dapur bergerak, trak TATRA, trak AMDAC serta bot penyelamat lengkap dengan peralatan keselamatan.

Sebelum ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah meliputi kawasan sering terjejas banjir saban tahun.

“Kesiapsiagaan awal ATM dilihat kritikal bagi memastikan tindak balas pantas dapat dilaksanakan ketika bencana berlaku.

“Persediaan ini bukan bermusim, ia adalah komitmen berterusan untuk melindungi rakyat dan negara,” katanya.

#ATM #Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin #monsun timur laut #Op Murni #banjir