KUALA LUMPUR: Operasi Patuh (Op Patuh) yang dilaksanakan secara besar-besaran mulai hari ini memberi fokus kepada kawasan perindustrian di seluruh negara.

Selain menggemblengkan tenaga semua agensi di bawah 21 kementerian, aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti dron dan helikopter turut digunakan dalam operasi itu bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara dipatuhi.

Di Kuala Lumpur, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata pihaknya mengeluarkan empat kompaun kepada pemilik syarikat selepas didapati beroperasi walaupun bukan sektor perkilangan dibenarkan, gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja berdasarkan arahan dan tiada penjarakan fizikal.

Mereka juga gagal melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja warga asing mereka, katanya.

Penguatkuasaan Op Patuh di Kelantan pula memberi tumpuan kepada kilang-kilang yang beroperasi di Kota Bharu, Gua Musang, Machang dan Tanah Merah dengan penglibatan 900 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata pihaknya akan melakukan pemeriksaan secara besar-besaran di kilang yang diketahui mempunyai jumlah pekerja yang ramai.

Di Melaka, lima kilang di negeri itu dikenakan kompaun berjumlah RM50,000 kerana melanggar SOP ditetapkan.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata antara kesalahan ialah jumlah pekerja melebihi kapasiti 60 peratus ditetapkan dan mengabaikan penjarakan fizikal di premis.

Beliau berkata pada operasi itu juga sebanyak 218 kilang diperiksa iaitu 150 di Melaka Tengah, Jasin (37) dan Alor Gajah (31).

"Tumpuan operasi hari ini ialah di kilang-kilang dan setakat ini kami berpuas hati dengan tahap pematuhan majikan dan didapati lebih 80 peratus premis mematuhi SOP ditetapkan.

"Kami juga memberi amaran kepada pihak majikan yang segelintirnya masih mengabaikan SOP seperti menyediakan kod QR MySejahtera, pengimbas suhu serta penanda arahan jalan keluar dan masuk," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan di sebuah kilang di Serkam di sini hari ini.