MALAYSIA

OP Patuh Undang-Undang: Lebih 42,000 notis amaran di ibu negara

Bernama 21/09/2025 | 11:00 MYT
Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) yang dijalankan di ibu negara memberi penekanan terhadap kesalahan kecil peraturan jalan raya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) yang memberi penekanan terhadap kesalahan kecil peraturan jalan raya diteruskan di ibu negara dengan 42,288 notis amaran dikeluarkan setakat semalam.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 42,288 notis amaran dikeluarkan dalam Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) di Kuala Lumpur, dengan kesalahan tertinggi melibatkan halangan lalu lintas akibat parkir tidak betul.
  • Notis turut dikeluarkan kepada pelbagai kategori pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki, penunggang motosikal, pemandu kereta, teksi, van dan lori atas pelbagai kesalahan seperti langgar isyarat, tidak ikut lintasan pejalan kaki, dan nombor plat tidak mengikut peraturan.
  • Operasi ini melibatkan kerjasama antara Polis Trafik Kuala Lumpur, JPJ, DBKL dan JAS, dan tindakan saman serta-merta akan dikenakan selepas fasa advokasi berakhir.


Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata notis itu dikeluarkan kepada 2,206 pejalan kaki, penunggang motosikal (19,672), pemandu kereta (18,058), pemandu teksi (955), pemandu van (821) dan pemandu lori (576).

Kesalahan tertinggi direkodkan ialah halangan lalu lintas melibatkan kesalahan meletakkan kenderaan bukan di tempat sepatutnya iaitu 18,169 notis iaitu hampir separuh daripada notis dikeluarkan.

"Notis turut dikeluarkan bagi kesalahan mengabaikan isyarat lalu lintas dengan 9,897 notis, tidak ikut lintasan pejalan kaki (4,186), berhenti di petak kuning (2,328), berhenti melebihi garisan putih (1,758), tidak memakai topi keledar (1,633) dan tidak memakai tali pinggang keledar (259).

"Notis juga diberikan untuk kesalahan berkaitan nombor plat iaitu nombor plat kotor, kabur dan fancy dengan 1,843 notis, nombor plat tidak mengikut peraturan (1,343) selain ubah suai motosikal (872)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan fasa advokasi OP PUU yang bermula 6 Sept akan diteruskan sehingga diumumkan kelak dengan tindakan saman serta-merta akan dikenakan terhadap pesalah lalu lintas selepas itu.

Selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, operasi dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Alam Sekitar.

-- BERNAMA





#Operasi Patuh Undang-Undang #kesalahan kecil peraturan jalan raya #ibu negara #saman #Polis Kuala Lumpur