MALAYSIA

Op samseng jalanan: Polis keluar 139 saman di Kuantan

Bernama 20/07/2025 | 08:30 MYT
Sebanyak 60 motosikal telah ditahan, dan saman dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng yang berumur 13 hingga 22 tahun. - Gambar/ Bernama
KUANTAN: Polis mengeluarkan 139 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 19 motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar bandar raya di sini dan Jalan Kuantan Bypass bermula dari 10 malam hingga 6 pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Polis Kuantan mengeluarkan 139 saman trafik dan menyita 19 motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan dari 10 malam hingga 6 pagi di sekitar bandar raya dan Jalan Kuantan Bypass. Penunggang dan pembonceng yang disaman berumur antara 13 hingga 22 tahun.
  • Sepasang individu ditahan kerana melakukan aksi wheelie yang membahayakan keselamatan awam. Mereka disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk tindakan lanjut.
  • Operasi berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini. Polis menegaskan komitmen membanteras samseng jalanan dan menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang lalu lintas demi keselamatan semua pengguna jalan raya.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata sebanyak 60 motosikal telah ditahan dan kesemua notis saman itu dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng yang berumur 13 hingga 22 tahun.

Beliau berkata pihaknya turut menahan satu pasangan yang melakukan aksi wheelie semasa menunggang motosikal jenis Honda EX5, yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

"Penunggang merupakan seorang lelaki berumur 20 tahun yang bekerja sendiri, manakala pembonceng ialah seorang wanita berumur 24 tahun yang tidak bekerja. Kedua-duanya ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan menegaskan pihak polis akan terus komited dalam membanteras kegiatan samseng jalanan demi keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membahayakan nyawa sendiri serta orang lain," katanya.

-- BERNAMA


#Op Samseng Jalanan #PDRM #mat rempit #Kuantan