IPOH: Sejumlah 112 saman telah dikeluarkan kepada pemandu kenderaan berat sepanjang tempoh Op Selamat 18 yang dilaksanakan di Perak sejak 29 April lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Azizan Hassan, selain memberitahu jumlah berkenaan turut membabitkan bas ekspres dan bas henti-henti.

Beliau berkata, dalam tempoh Op Selamat 18 dilaksanakan, hanya lima kes kemalangan dilaporkan membabitkan kenderaan tersebut.

"Statistik menujukkan terdapat penurunan iaitu sebanyak lima kes kemalangan jalan raya dalam tempoh op selamat 18/2022 yang melibatkan bas berbanding 10 pada op selamat 15/2019.

"Walaupun bagaimanapun tiada kemalangan maut dilaporkan melibatkan bas," kata Azizan.

Azizan ditemui pemberita selepas membuat tinjauan operasi khas bas ekspres bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Terminal Aman Jaya, Ipoh pada Sabtu.

Operasi khas itu dijalankan bagi mencegah kemalangan melibatkan bas ekspres dengan memastikan pemandu mematuhi peraturan ditetapkan, selain penekanan terhadap aspek mekanikal agar sentiasa berada dalam keadaan selamat.