KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,764 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tiga hari Op Selamat 21 Tahun Baharu Cina 2024 bermula Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kemalangan itu membabitkan sebanyak 5,891 kenderaan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 44 kes kemalangan maut telah direkodkan dengan 46 kematian.



"Selain itu, seramai 32 orang atau 69 peratus daripada keseluruhan kes kematian itu melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azman berkata, berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh pihak konsesi lebuh raya mendapati lebih enam juta kenderaan telah menggunakan dua lebuh raya utama sepanjang tempoh sama bersempena cuti umum ini.

Katanya, keseluruhan kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara Selatan menuju ke utara dan selatan serta timur sebanyak 5.78 juta dengan purata 1.92 juta kenderaan dalam satu masa.

"Sebanyak 886,106 kenderaan didapati menggunakan Lebuhraya Karak arah Pantai Timur dengan purata 295,369 kenderaan dalam satu masa," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal sentiasa bekerjasama, berhemah dan berhati-hati serta fokus kepada pemanduan demi keselamatan diri dan pembonceng.

Tegasnya, penggunaan aplikasi My-TTA Plus juga dapat membantu pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dan berehat seketika apabila kepenatan dalam kesesakan lalu lintas atas lebuh raya.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas sehingga menyumbang kemalangan jalan raya," ujarnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian