[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Op Serantau: Pengerusi NGO di Melaka suspek utama kes seleweng dana RM26 juta

Hasimi Muhamad 25/06/2025 | 08:00 MYT
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki (tengah) bercakap pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini pada Rabu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Melaka menjadi suspek utama selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan dana sumbangan orang ramai berjumlah RM26 juta.

Ringkasan AI
  • Pengerusi sebuah NGO di Melaka disiasat kerana disyaki menyeleweng dana sumbangan awam sebanyak RM26 juta, yang sepatutnya disalurkan untuk bantuan kemanusiaan seperti masyarakat Syria.
  • SPRM mengesan wang itu digunakan untuk kepentingan peribadi, termasuk pembelian tanah, rumah dan aset lain; siasatan dijalankan bawah Akta AMLATFPUAA 2001 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
  • Setakat ini, 30 akaun telah dibekukan dan aset bernilai jutaan ringgit telah disita, manakala lima individu telah ditahan dalam siasatan termasuk pegawai tertinggi NGO berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengesan wang sumbangan telah dipindahkan daripada akaun NGO berkenaan ke akaun peribadi individu, disyaki pengerusinya.
"Dia baru sahaja dilepaskan daripada reman dan siasatan masih diteruskan.
"Siasatan diteruskan melibatkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
"Ini kerana RM26 juta ini telah dikesan untuk perbelanjaan diri sendiri termasuk pembelian harta seperti tanah dan bangunan.
"Wang ini datang daripada orang ramai yang menyumbang bagi tujuan, antaranya untuk masyarakat Syria," katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Azam berkata SPRM sebelum ini telah menahan lima individu menerusi Op Serantau, dan merakam keterangan 26 individu.
Mereka yang ditahan antaranya terdiri daripada pengerusi, setiausaha, bendahari dan pengurus kewangan NGO berkenaan.
Jelas beliau, kes turut disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki berlaku salah guna kuasa untuk kepentingan diri sendiri.
Setakat ini, SPRM telah membekukan 30 akaun dan membuat sitaan terhadap tanah lot bernilai RM800,000; sembilan unit rumah dengan jumlah kira-kira RM1.3 juta; lima unit geran (kira-kira RM1.1 juta); dan wang tunai pelbagai mata wang berjumlah kira-kira RM60,000.
#Azam Baki #Seleweng dana sumbangan orang ramai #Pengerusi NGO Melaka #terkini