MALAYSIA
Op Sky: Dua pegawai bank didakwa terima rasuah
Syamime Hazreen Bahrin, 37, dan Nursyafiqah Abdul Latif, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan. - Foto Bernama
MELAKA: Dua pegawai bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, masing-masing atas lima dan dua pertuduhan menerima suapan RM50,581.51 serta RM8,000 sebagai upah memproses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan melebihi had kelayakan.
Ringkasan AI
Syamime Hazreen Bahrin, 37, dan Nursyafiqah Abdul Latif, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Syamime Hazreen yang kini penasihat kewangan sebuah bank di Kuala Lumpur, didakwa atas lima pertuduhan menerima suapan RM50,581.51 secara pindahan dalam talian ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Jalan Hang Tuah di sini, antara 8 Dis 2022 hingga 15 Julai 2024.
Suapan didakwa sebagai upah membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi lima pelanggan sebuah syarikat secara serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan di beberapa institusi kewangan, menyebabkan pelanggan itu mempunyai pinjaman peribadi melebihi had kelayakan.
Sementara itu, Nursyafiqah yang ketika itu bertugas sebagai eksekutif pembiayaan pengguna di sebuah bank cawangan Ampang Point, Selangor didakwa atas dua pertuduhan menerima RM8,000 daripada seorang lelaki secara pindahan dalam talian ke dalam akaun bank miliknya bagi tujuan sama.
Wanita itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Masjid Tanah, Alor Gajah pada 7 Ogos dan 9 Sept 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sharina Farhana Nor Sa'ari menawarkan jaminan antara RM20,000 hingga RM25,000 terhadap Syamime Hazreen manakala RM7,000 kepada Nursyafiqah, masing-masing dengan seorang penjamin.
Sharina Farhana turut memohon syarat tambahan iaitu mereka perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sekali sebulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Peguam Emile Ezra Hussain yang mewakili Syamime Hazreen dan M. Manoharan mewakili Nursyafiqah memohon mahkamah mengurangkan jumlah tersebut.
Hakim Elesabet membenarkan jaminan RM15,000 kepada Syamime Hazreen dan RM7,000 terhadap Nursyafiqah serta membenarkan syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan 3 Jan tahun depan.
Media sebelum ini melaporkan beberapa individu termasuk pegawai bank ditahan menerusi Op Sky, iaitu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan yang dilaksanakan SPRM.
-- BERNAMA
Ringkasan AI
- Dua pegawai bank didakwa terima suapan berjumlah RM50,581.51 dan RM8,000 sebagai upah memproses pembiayaan peribadi pelanggan melebihi had kelayakan.
- Syamime Hazreen dan Nursyafiqah Abdul Latif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka dan masing-masing dibenarkan jaminan RM15,000 dan RM7,000 dengan syarat tambahan termasuk serah pasport dan lapor diri ke SPRM.
- Kes berkait siasatan Op Sky oleh SPRM, melibatkan rasuah dan pengubahan wang haram dalam sektor perbankan; sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Januari 2026.