[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

Op Sohor: Pegawai kanan tentera didakwa terima suapan RM34,500 lindung aktiviti seludup

Bernama 31/10/2025 | 08:45 MYT
Pegawai itu mengaku tidak bersalah di mahkamah tersebut atas pertuduhan menerima suapan RM34,500 sebagai upah tidak melaporkan aktiviti penyeludupan barangan dari negara jiran. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerima suapan RM34,500 sebagai upah tidak melaporkan aktiviti penyeludupan barangan dari negara jiran, Julai lepas.


Ringkasan AI
  • Pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan RM34,500 sebagai upah tidak melaporkan aktiviti penyeludupan di Kota Tinggi, Johor pada Julai 2025.
  • Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.
  • Mahkamah tetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin, tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di SPRM Kuala Lumpur dan memaklumkan secara bertulis jika bertugas ke luar negara; sebutan semula kes pada 2 Disember.


Pegawai berusia 53 tahun itu didakwa sebagai Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf, Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia menerima suapan tersebut melalui dua individu sebagai upah tidak melaporkan aktiviti penyeludupan di Kota Tinggi, Johor yang sepatutnya dilaporkan mengikut tugasannya.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominum di Jalan Dua, Chan Sow Lin di sini pada Julai 2025 dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM6,000 atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik dan tidak pernah gagal melaporkan diri kepada SPRM sepanjang siasatan.

"Tertuduh masih perlu menjalankan tugas seperti biasa dan memerlukan pasport untuk membolehkannya ke luar negara. Saya memohon pihak media tidak mendedahkan nama tertuduh berikutan kedudukannya sebagai pegawai risikan pertahanan terlibat dalam operasi sensitif," katanya.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan berkaitan nama itu dan menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

"Mahkamah tidak menahan pasport tertuduh tetapi dia perlu membuat laporan secara bertulis kepada mahkamah setiap kali perlu bertugas ke luar negara," katanya.

Beliau menetapkan 2 Dis untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA




#Op Sohor #pegawai kanan tentera #menerima suapan #lindungi aktiviti penyeludupan