Op Sumber Air berjaya, henti tugas loji rawatan air hanya dua kali tahun ini

Bernama
Disember 3, 2021 10:33 MYT
Hee juga memaklumkan bahawa jumlah penguatkuasaan bagi menangani masalah sungai tercemar telah ditingkatkan hampir dua kali ganda iaitu sejumlah 2,009 pada tahun lepas berbanding 1,441 pada 2019. - Gambar fail
SHAH ALAM: Op Sumber Air yang berperanan untuk menangani isu pencemaran sungai dianggap berjaya tahun ini kerana sehingga November, hanya dua kali sahaja henti tugas loji rawatan air berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata, henti tugas loji rawatan air yang mengakibatkan gangguan bekalan air di Selangor berkurang dengan ketara berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 12 kali henti tugas loji rawatan air, sembilan kali (2019) dan tiga kali (2018).
"Ini menunjukkan Op Sumber Air berjaya yang mana tahun ini hanya dua kali. Kita harap tahun depan tiada henti tugas akan berlaku. Ini adalah kejayaan kerajaan Selangor untuk menangani isu pencemaran sungai yang kita pastikan tidak akan berlaku pada masa akan datang," katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Hee juga memaklumkan bahawa jumlah penguatkuasaan bagi menangani masalah sungai tercemar telah ditingkatkan hampir dua kali ganda iaitu sejumlah 2,009 pada tahun lepas berbanding 1,441 pada 2019.
Ketika sesi soal jawab, Hee berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) komited dalam memastikan semua industri yang melepaskan efluen supaya sentiasa mematuhi tahap piawai seperti ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 serta peraturan-peraturan di bawahnya.
"Selain daripada itu, penguatkuasaan secara bersepadu turut dijalankan bersama seluruh agensi di bawah kerajaan Selangor. Bagi perancangan jangka masa panjang pula, JAS sedang menambah baik perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa," katanya.
Beliau menjawab soalan Ronnie Liu Tian Khiew (PH-Sungai Pelek) yang menanyakan berhubung pencemaran sungai di Selangor.
-- BERNAMA
#op sumber air #henti tugas LRA #loji rawatan air #Hee Loy Sian