Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Op Tiger: Bekas pegawai bank mengaku bersalah terima rasuah RM14,883

Astro Awani 21/11/2025 | 09:15 MYT
Mohd Khairuddin (dua, kanan) didapati gagal melaporkan pemberian rasuah itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto ihsan SPRM
SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai bank mengaku bersalah atas lima pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam pada Jumaat, di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.


Ringkasan AI
  • Bekas pegawai bank mengaku bersalah atas lima pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam.
  • Mohd Khairuddin Jamaludin, 33 tahun, menerima wang suapan daripada firma guaman untuk mengatur perjanjian pembiayaan perumahan pelanggan.
  • Denda RM20,000 atau empat bulan penjara dikenakan jika tidak membayar denda bagi kesalahan tersebut.


Tertuduh, Mohd Khairuddin Jamaludin, 33 tahun, didakwa menerima wang suapan sebagai dorongan mencadangkan sebuah firma guaman untuk menyediakan dokumen perjanjian pembiayaan perumahan kepada beberapa pelanggan.

Mengikut pertuduhan, perbuatan itu dilakukan sekitar Julai 2018 hingga Februari 2023 dengan menerima sejumlah RM14,883 ke dalam akaunnya menerusi lima transaksi daripada firma guaman berkenaan.

Selain itu, Mohd Khairuddin didapati gagal melaporkan pemberian rasuah itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memutuskan hukuman denda RM20,000 iaitu RM4,000 bagi setiap pertuduhan atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.










#Op Tiger #pegawai bank #terima rasuah #dokumen perjanjian pembiayaan