PULAU PANGKOR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang disyaki terlibat dengan urus niaga barang kawalan itu melibatkan bot nelayan di jeti Pulau Pangkor.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan itu hasil operasi Op Tiris pada kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, selepas risikan selama dua minggu.

Menurut Kamalludin, pihaknya menerima maklumat wujud aktiviti pemindahan minyak diesel dari bot ke bot yang melibatkan penjualan dan pembelian dalam kuantiti yang banyak.

“Ketika serbuan dilakukan, disyaki berlaku pindahan minyak diesel dari dua buah bot dan aktiviti ini dipercayai dilakukan oleh dua lelaki warga tempatan berumur antara 27 dan 71 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Menurutnya, ketika pemeriksaan lanjut dilakukan, kedua-dua suspek tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen melibatkan lesen atau permit pengendalian barang kawalan minyak diesel apabila diminta.

Foto KPDN Perak

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua bot dan cecair anggaran 4,600 liter yang disyaki minyak diesel, telah disita, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah kira-kira RM381,500.

“Operasi ini melibatkan enam anggota KPDN Manjung dengan kerjasama empat anggota Polis Marin dari Bot Ronda PAC24, Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Kampung Acheh, Sitiawan,” ujarnya.

Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.